Quantcast

BERITA

Safiq Rahim Tekad Hadiahkan Satu Piala Untuk Melaka United

Dua kemenangan dalam dua perlawanan awal Liga Super 2019 telah menaikkan semangat bekas kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim untuk memburu lebih banyak kejayaan bersama Melaka United musim ini.

Semalam, jaringan penaltinya ke atas PKNS FC telah memastikan skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu mengutip 6 mata penuh dan menghuni 3 kedudukan teratas Liga Super.

Walaupun beliau sudah mengecapi pelbagai kejayaan dalam tempoh lima musim bersama pasukan JDT, pemain yang berusia 32 tahun itu mempunyai misi tersendiri yang ingin dicapai bersama skuad Hang Tuah itu.

“Saya seperti juga pemain-pemain yang lain, mempunyai misi dan kemahuan.

“Saya ingin mencapai sesuatu bersama Melaka United dan dengan bantuan rakan sepasukan, pengurusan dan jurulatih, Insya-Allah kami mampu mencapai keputusan yang terbaik tahun ini,” katanya dalam Stadium Astro.

Safiq Rahim meledakkan jaringan menerusi sepakan penalti untuk hadiahkan kemenangan buat Melaka United.

Penghijrahan Safiq ke skuad Hang Tuah menyaksikan pasukan itu memiliki beberapa pemain yang bertaraf bekas kapten skuad kebangsaan.

Antaranya, Shukor Adan dan Khairul Fahmi Che Mat di samping pemain berpengalaman Selangor dan Pahang, Razman Roslan.

Menurut Safiq, tiada masalah untuknya berganding bersama barisan bintang lama ini kerana mudah serasi dengan corak permainan masing-masing.

“Ia salah satu cara untuk kami mendapatkan kombinasi terbaik yang sudah biasa dengan kancah Liga Super.

“Saya harap kami dapat mempamerkan aksi yang lebih baik dalam perlawanan akan datang dan mencapai keserasian yang lebih baik musim ini,” katanya.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!