Previu MSL 2018: Negeri Sembilan Mahu Bangkit, KL Dapat Suntikan Moral

Perlawanan kedua unifi Liga Super 2018 yang menemukan antara Negeri Sembilan dengan Kuala Lumpur di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada malam ini adalah perlawanan penting buat kedua-dua pasukan.

Selepas masing-masing tewas dalam aksi pembukaan, kedua-dua pasukan pastinya ghairah untuk kembali bangkit mengutip 3 mata untuk mengembalikan keyakinan penyokong.

Kuala Lumpur mendapat suntikan moral menjelang perlawanan malam ini selepas sijil perpindahan antarabangsa (ITC) pemain import Indonesia mereka, Achmad Jufriyanto akhirnya diluluskan oleh FIFA semalam.

Negeri Sembilan pula bakal beraksi di halaman sendiri buat kali pertama pada musim ini.

Meskipun perlawanan malam ini berlangsung pada malam hari bekerja, dijangkakan sekurang-kurangnya 5,000 penyokong skuad Hobin Jang Hobin akan turun memberikan sokongan. Ini pastinya akan menaikkan semangat pemain-pemain Negeri Sembilan yang beraksi hambar pada perlawanan petang Sabtu lepas.

Prestasi semasa

Aspirasi Negeri Sembilan dalam saingan unifi Liga Super pada musim ini mula dipersoalkan oleh penyokong dan peminat bola sepak tempatan selepas tewas 0-1 ketika aksi pembukaan menentang PKNP FC di Stadium Batu Kawan pada petang Sabtu lepas.

Kalah atau menang – belakang cerita. Apa yang menjadi kerisauan penyokong Negeri Sembilan adalah fakta apabila Negeri Sembilan hanya mencatatkan satu percubaan ke pintu gol PKNP semasa separuh masa pertama.

Pemain sayap kanan Negeri Sembilan, Prak Mony Udom (kiri) antara yang gagal menyerlah ketika aksi pembukaan menentang PKNP FC. (Kredit: Team N9FC)

50% daripada jumlah keseluruhan percubaan Negeri Sembilan pula terhasil apabila PKNP FC mula mengendurkan serangan pada 10 minit terakhir perlawanan.

Setakat ini, mungkin adalah terlalu awal untuk menilai keberkesanan Nicolas Velez sebagai penyerang utama Negeri Sembilan. Tetapi sebagai pemain import di Liga Malaysia, beliau perlu cepat menyesuaikan diri. Apatah lagi ketika Negeri Sembilan memerlukan sumbangan daripadanya untuk bangkit di Paroi.

Kuala Lumpur pula mendapat pengajaran awal dalam Liga Super ketika tewas 0-2 kepada musuh tradisi, Selangor di Stadium Cheras malam Ahad lepas.

Pengajarannya adalah – tiada ruang untuk melakukan kesilapan jika mahu kekal di Liga Super. Meskipun Kuala Lumpur mencatat 17 percubaan ke arah gol, tiada gol berjaya dihasilkan. Tidak cukup dengan itu, 2 kesilapan individu yang dilakukan oleh pertahanan mereka menghadiahkan gol kepada Selangor.

Penyerang Kuala Lumpur, Guilherme de Paula cuba melepasi kawalan pertahanan Selangor, Fairuz Aziz ketika perlawanan pembukaan unifi Liga Super 2018 di Stadium Cheras (Kredit: Kuala Lumpur Hawks)

Hakikat ini pastinya mengecewakan ketua jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel. Beliau mungkin mengharapkan kehadiran Achmad Jufriyanto mampu mengurangkan kesilapan Kuala Lumpur di bahagian pertahanan.

Meskipun Fabio mengaku berpuas hati dengan persembahan keseluruhan anak buahnya. Tetapi mereka perlu pantas menterjemahkan persembahan baik kepada 3 mata sebelum menghadapi JDT pada hujung minggu ini.

Rekod 5 pertemuan terakhir

10 Julai 2017: Kuala Lumpur 3-2 Negeri Sembilan (Premier League, Stadium Selayang)

2 Mac 2017: Negeri Sembilan 2-1 Kuala Lumpur (Premier League, Stadium TAR Paroi)

9 September 2016: Kuala Lumpur 1-2 Negeri Sembilan (Premier League, Stadium Selayang)

26 Febuari 2016: Negeri Sembilan 1-1 Kuala Lumpur (Premier League, Stadium TAR Paroi)

21 Ogos 2015: Negeri Sembilan 2-1 Kuala Lumpur (Premier League, Stadium TAR Paroi)

Secara keseluruhannya, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur sudah bertemu sebanyak 64 kali. Rekod kemenangan kedua-dua pasukan ini agak seimbang dengan Kuala Lumpur menang 21. Manakala Negeri Sembilan menang 20. 23 perlawanan lagi berkesudahan seri.

Di Paroi, Kuala Lumpur hanya mampu menang 9 kali daripada 32 pertemuan. 12 perlawanan berkesudahan dengan kekalahan untuk skuad The City Boys dan 11 lagi berakhir dengan keputusan seri.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN