Ia adalah kehilangan yang agak besar. Namun pihak JDT menyifatkan ia keputuan berat yang terpaksa dibuat. Untuk Diaz mereka terpaksa melepaskan pemain tersebut kerana tidak mampu memenuhi permintaan gaji.
Manakala untuk Lucero, pihak JDT menyatakan ia adalah kerana tawaran yang sukar ditolak. Mereka menyatakan Lucero dibida dengan harga sekitar RM11 juta. Satu angka yang besar untuk pasukan di Malaysia.
Realitinya selepas kehilangan penjaring terbanyak Liga Super, mereka turut kehilangan penjaring kedua terbanyak Liga Super.
2 pemain ini menghasilkan 34 gol dalam Liga Super musim lalu. Itu angka yang cukup besar. Kami gariskan 2 cabaran besar JDT selepas kehilangan 2 pemain ini.
1. Sistem Serangan Baru
Ia adalah perkara yang akan diselesaikan Gomez dalam masa terdekat. Mereka kehilangan penyerang utama dan juga ‘otak’ (brain) kepada sistem serangan mereka iaitu Diaz.
Dengan beberapa nama baru menyertai mereka. Sebelum ini Mario Gomez mengambil masa hampir 3 bulan untuk menyelesaikan pertukaran peranan Lucero dari pemain tengah menyerang kepada no.9.
Dalam proses tersebut mereka tetap ada Diaz yang sangat produktif. Selepas berjaya menjadikan Lucero sebagai no.9 berbisa, mereka sangat tajam di dengan dua penggempur gol utama.
Pada awalnya, kami melihat Diaz adalah kehilangan yang akan menjadi topik utama di padang latihan dan laporan kemajuan di atas pejabat Gomez.
Kini beliau sudah kehilagan duo latin ini. Jadi, ia terbuka kepada sesiapa sahaja untuk menjadi penggempur utama. Kami merasakan Gomez sedang memikirkan sama ada untuk kekalkan sistem 4-4-1-1 dan mencari pemain yang sesuai di atas.
Atau beliau menggunakan formasi taktikal dengan sistem serangan yang baru.
2. Membentuk Keserasian (Chemistry)
Mereka ada 4 pemain penyerang yang tidak pernah bergandingan antara satu sama lain iaitu Brian Fererra, Hazwan Bakri, Safawi Rasid dan Syahrul Azwari.
Daripada 4 nama tersebut pemain seperti Brian Fererra agak misteri posisi dan corak permainan beliau. Manakala untuk no.9 Hanya Hazwan Bakri dan Darren Lok. Pemain lain lebih kepada penyerang sayap ataupun penyerang kedua.
Jadi, mungkin mereka akan ke pasaran perpindahan dan mendapatkan seorang lagi penyerang yang tipikal 15 gol semusim.
Kita tahu Mario Gomez seorang yang teliti dalam transisi dan pembentukan karakter pemain. Beliau lakukannya kepada Lucero, Azamuddin Akil dan Fazly Mazlan.
Namun kami merasakan impak untuk Lucero-Diaz adalah agak besar kerana mereka akan mengharungi play-off untuk ke Liga Juara-Juara Asia.
Jadi, mereka ada 3 perlawanan pra-musim yang sangat penting untuk membentuk sistem dan pasukan yang boleh dikatakan dengan komponen enjin baru.
Rumusan
Kami merasakan ia adalah kehilangan besar untuk JDT kerana Lucero-Diaz boleh dikira marquee player untuk mereka. Cabaran besar untuk Gomez membentuk pasukan dengan DNA baru.
Namun harus diingat, Mario Gomez berjaya melakukan transisi ketika kehilangan Luciano Figueroa. Ia agak mengambil masa namun ia tetap berjaya.
Cuma kali ini, kami boleh katakan tahun 2017 adalah tahun yang paling mencabar untuk Gomez berbanding sebelum ini. Beliau pernah mengubah JDT menjadi pasukan lebih baik dari tangan Bojan Hodak.
Beliau gigih membentuk falsafah bola sepak dalam masa 2 tahun pertama. Kini beliau kehilangan 2 tonggak penting dalam sistem beliau secara serentak.
Kami masih merasakan JDT masih pasukan yang kuat di peringkat domestik. Namun untuk bersaing di peringkat lebih tinggi, seperti ACL, mereka akan lebih merasai kehilangan 2 pemain ini.
Dalam bola sepak benda seperti ini adalah lumrah. Pemain datang dan pergi. Dan inilah masa untuk jurulatih dan semua pemain dalam pasukan bekerja keras. Tidak lupa juga sokongan dari penyokong.
Sebelum ini mereka pernah ada pemain yang beraksi luar biasa iaitu Safiq Rahim yang membantu menampal sistem itu. Ia antara salah satu cara mereka boleh melakukan transisi dengan baik.
Jadi segalanya sangat bergantung di tangan Gomez untuk membentuk pasukan dengan sistem serangan baru dan ramai pemain muda dalam pasukan ini.
Apa yang pasti gandingan ini akan menjadi penanda aras kepada kualiti kombinasi penyerang JDT selepas ini.
Baca juga : Previu MSL 2017 : Weigang Membentuk Skuad Perak Yang Lebih Matang Dan Seimbang!