Previu 8 Pasukan Yang Layak Ke Suku Akhir Piala Malaysia 2017

Piala Malaysia 2017

Perlawanan terakhir saingan kumpulan bagi saingan Piala Malaysia 2017 pada Sabtu lepas merungkaikan segala penantian berkenaan senarai penuh 8 pasukan yang akan menghadapi saingan suku akhir yang akan berlangsung hujung minggu ini.

Perbadanan Kemajuan Negeri Perak  (PKNP FC), Pahang, Perak, Felda United, Kedah, Melaka, Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor akhirnya berjaya melepasi ranjau di peringkat kumpulan masing-masing bagi misi menggenggam kejuaraan Piala Malaysia edisi ke 91 pada tahun ini.

Juara dan naib juara musim lalu, Kedah dan Selangor masih berada dalam saingan namun terpaksa berdepan sesama sendiri lebih awal apabila bakal bertemu di peringkat suku akhir.

Namun yang paling mencuri tumpuan pada edisi kali ini adalah kemaraan pasukan PKNP FC yang juga merupakan wakil tunggal dari Liga Perdana yang melayakkan diri ke saingan suku akhir.

Berikut adalah previu pasukan-pasukan yang layak mengikut kedudukan dalam kumpulan masing-masing :

1) PKNP FC

Pasukan yang ditubuhkan pada tahun 2015 ini pantas memberikan impak dan membuatkan kehadiran mereka begitu dirasai dalam Liga Malaysia 2017.

Berada dalam kelompok pasukan yang sedang bersaing untuk melayakkan diri ke Liga Super 2018, PKNP FC juga berjaya mara hingga ke suku akhir Piala FA musim ini sebelum kemaraan mereka dihentikan Kedah.

Kredit foto: PKNP FC

Dalam saingan Piala Malaysia pula, PKNP FC diletakkan bersama Pahang, T-Team dan Negeri Sembilan di kumpulan A.

Walaupun pada mulanya kelihatan tumpuan tidak terlalu diberikan kepada pasukan dari Ipoh ini, namun ianya tidak menghalang mereka untuk melakukan kejutan seterusnya menjadi juara kumpulan A.

2) Pahang

Juara 4 kali Piala Malaysia ini dibarisi dengan para pemain yang boleh dikatakan mempunyai nama besar dalam kancah bola sepak ketika ini.

Nama besar seperti Ahmad Syamim Yahya, Joseph Kallang Tie, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Christie Jayaseelan dan beberapa pemain lagi yang bergandingan dengan pemain import berkualiti seperti Mohamadou Soumareh, Matheu Alves,  Heo Jae Won dan Yamil Romero menjadikan Pahang sebagai pilihan untuk mara lebih jauh kali ini.

Kredit foto: Pahang FA

Menamatkan saingan ditempat kedua kumpulan A menyaksikan Pahang bakal membuat perhitungan dengan Perak dalam saingan suku akhir nanti.

Kali terakhir Pahang beraksi di peringkat kalah mati saingan Piala Malaysia adalah pada tahun 2015 apabila tewas dalam saingan separuh akhir kepada juara tahun tersebut iaitu Selangor.

Tahun 2013 dan 2014 adalah saat indah buat Pahang apabila berjaya menjuarai Piala Malaysia bagi 2 tahun berturut-turut apabila menewaskan Kelantan dan JDT.

3) Perak

Penyokong pasukan Perak mungkin boleh berbangga dengan kejayaan tidak pernah turun ke Liga Perdana namun dalam saingan Piala Malaysia, mereka sudah tentunya sabar menanti bilakah pasukan kesayangan mereka akan kembali untuk bersaing di saingan kalah mati piala berprestij ini.

Kali terakhir mereka merasai kehangatan itu adalah pada tahun 2011 namun perjalanan itu terhenti apabila tewas ditangan Selangor.

Selepas itu penyokong Perak terpaksa terus menunggu dan penantian tersebut berakhir apabila musim ini, skuad bimbingan Mehmet Durakovic itu berjaya kembali membuat penampilan selepas 5 tahun terdahulu tanpa aksi di saingan kalah mati Piala Malaysia.

Kredit foto: Perak TBG

Menjadi satu-satunya pasukan yang tidak tewas dalam enam perlawanan peringkat kumpulan serta hanya dibolosi 3 gol dan juga merupakan pasukan yang mencatatkan mata tertinggi, rekod itu pastinya diharapkan oleh penyokong ‘Kejor Yob Skor’ itu untuk serius dalam mencapai sesuatu yang sangat positif musim ini.

Sentuhan Mehmet yang pernah mengecapi kejuaraan Piala Malaysia sebagai pemain dan jurulatih dilihat mampu untuk menghadirkan sesuatu buat juara kumpulan B itu.

4) Felda United

Felda United merupakan antara pasukan yang begitu konsisten dalam saingan Piala Malaysia sejak tahun 2011. Mengikut statistik, Felda sudah beraksi sebanyak 5 kali dalam saingan kalah mati. Hanya pada tahun 2013 mereka gagal untuk melayakkan diri.

Edisi 2014 dan 2015 memperlihatkan prestasi terbaik ditonjolkan The Fighters apabila melayakkan diri ke peringkat separuh akhir tetapi tewas tipis 4-3 ditangan Kedah (2015) dan 6-5 ketika bertemu Johor Darul Takzim pada tahun 2014.

Kredit foto: Felda United FC

Ketajaman Thiago Augusto Fernandes dan pengaruh dibahagian tengah oleh Zah Rahan Krangar serta sifat kepimpinan yang tinggi oleh Shukor Adan mampu menjadi senjata utama pasukan bimbingan B.Sathianathan ini.

Felda United akan bertemu PKNP FC pada aksi suku akhir nanti.

5) Kedah

Antara pasukan pilihan pada saingan kali ini, membawa reputasi selaku juara Piala FA 2017 juga wajar menjadikan pasukan ini sebagai pasukan yang seharusnya dipandang serius oleh pasukan-pasukan lain.

Kedah yang tewas dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2015 ditangan Selangor ketika itu, bangkit dari kekecewaan untuk menumpaskan lawan yang sama setahun kemudian dalam saingan sengit sehingga ke penentuan sepakan penalti dalam aksi yang berlangsung di Stadium Shah Alam itu.

Kredit foto: Kedah FA

Corak permainan menarik dan dibarisi pemain yang berkualiti menjadi sandaran utama skuad Nidzam Adha Yusof ketika ini.

Juara Piala Malaysia 5 kali itu juga pastinya mengharapkan pada gandingan pemain import Liridon Krasniqi, Sandro da Silva Mendonca, Ken Ilso Larsen dan Zachary Anderson untuk bergandingan baik bersama pemain tempatan bagi memacu kejayaan ke-6 impian buat pasukan.

6) Melaka United

Walaupun sedang bergelut untuk kekal di Liga Super musim hadapan, ianya tidak menjejaskan tumpuan skuad Eduardo Elmeida bagi melayakkan diri ke saingan suku akhir apabila berjaya mengenepikan cabaran Kelantan dan Uitm FC dalam kumpulan C.

Melaka telah mencatatkan 3 kemenangan dan 3 kekalahan untuk mengesahkan tempat ke suku akhir selaku naib juara kumpulan C.

Namun tugas berat menanti mereka apabila bakal berdepan juara 4 kali berturut-turut Liga Super, Johor Darul Takzim dalam saingan suku akhir nanti.

Kredit foto: Melaka United Soccer Association

Diatas kertas memang tugas berat digalas oleh pemain Melaka United namun tiada yang mustahil dalam bola sepak. Apa sahaja boleh berlaku sekiranya para pemain dapat memberikan yang terbaik buat pasukan.

Kali terakhir Melaka United melayakkan diri ke saingan suku akhir adalah pada tahun 2007.

7) Johor Darul Takzim 

JDT yang masih dibuai kejayaan menjuarai Liga Super buat kali ke-4 berturut-turut memandang serius perjalanan pasukan mereka dalam saingan Piala Malaysia kali ini.

Kualiti yang dimiliki mereka memang tidak boleh disangkal lagi, ditambah dengan kekebalan mereka di laman sendiri pasti menjadikan cabaran JDT kali ini menghadirkan kesulitan buat pasukan lain.

Kredit foto: Johor Southern Tigers

Kehadiran Mohammed Ghaddar ternyata menambah rencah buat pasukan selatan itu bagi mendapatkan resipi terbaik untuk menjulang Piala Malaysia musim ini.

Final Piala Malaysia 2014 adalah peluang terbaik buat JDT bagi meraih kejayaan namun dinafikan oleh Pahang yang menewaskan mereka menerusi penentuan sepakan penalti dengan keputusan 5-3.

8) Selangor

Pasukan yang cukup sinonim dengan Piala Malaysia apabila sudah 33 kejuaraan diraih oleh pasukan The Red Giants ini.

Walaupun dipalit dengan pelbagai kemelut sebelum bermulanya Liga Malaysia musim ini, para pemain Selangor terus fokus untuk memberikan yang terbaik buat pasukan.

Kredit foto: Johor Southern Tigers

Saingan kalah mati Piala Malaysia juga bukanlah asing bagi Selangor apabila berdasarkan statistik dari tahun 2010, mereka telah melakukan 6 penampilan dan seperti Felda United, Selangor juga hanya terlepas aksi pada tahun 2013.

Pencapaian menjadi juara (2015) dan naib juara (2016) Piala Malaysia dalam 2 tahun terakhir ini pastinya mahu terus dilakarkan oleh pemain Selangor untuk terus meningkatkan koleksi kejuaraan pasukan yang cukup gah dalam saingan Piala Malaysia ini.

 

Jadual perlawanan suku akhir Piala Malaysia 2017

Suku akhir 1

1) Felda United lawan PKNP FC ( Stadium Tun Abdul Razak, Jengka )

2) Selangor lawan Kedah ( Stadium Majlis Perbandaran Selayang )

3) Pahang lawan Perak ( Stadium Darul Makmur, Kuantan )

4) Melaka United lawan JDT ( Stadium Hang Jebat, Melaka )

Suku akhir 2

1) PKNP FC lawan Felda United ( Stadium Perak, Ipoh )

2) Kedah lawan Selangor ( Stadium Darul Aman, Alor Setar )

3) Perak lawan Pahang ( Stadium Perak, Ipoh )

4) JDT lawan Melaka United ( Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos, Larkin )

 

*Perlawanan suku akhir 1 akan berlangsung pada 15/16 September dan suku akhir kedua pada 23/24 September. Info penuh perlawanan akan diberikan selepas FMLLP mengeluarkan jadual penuh perlawanan.

Kredit foto : FMLLP

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN