Prestasi Membanggakan Di Pentas AFC B23, Warga Twitter Berpantun Lagi

Petang semalam bukanlah petang yang biasa-biasa. Ia adalah petang Sabtu yang penuh bermakna bagi seluruh peminat bola sepak tanah air kerana ia adalah hujung minggu yang menakjubkan.

Skuad Harimau Malaya B23 turun ke padang dengan perasaan megah kerana pertama kalinya dalam sejarah Sukan Asia B23, Malaysia tersenarai dalam 8 pasukan terbaik Asia.

Lebih manis, kita layak ke peringkat suku akhir secara merit dan bermaruah, setelah kita tewas teruk di perlawanan pembukaan menentang Iraq.

Selepas menelan kepahitan itu sebagai semangat, kita berjaya bangkit di perlawanan seterusnya untuk mengikat dan menundukkan pasukan-pasukan dari Timur Tengah.

Dengan semangat yang membara dan jitu, seluruh Malaysia berdiri megah di bawah kibaran Jalur Gemilang dan menitipkan doa kepada skuad Harimau Malaya untuk menentang salah satu calon favourite juara, Korea Selatan di pusingan kalah mati.

Tidak kurang juga yang sanggup menghabiskan wang ribuan ringgit dan terbang ke bumi sejuk China semata-mata ingin bersorak dan memberikan semangat kepada “pahlawan-pahlawan” kita.

Jujurnya, ramai di antara kita yang was-was dan tidak yakin bahawa kita mampu memberikan saingan yang sengit kepada pasukan gergasi Asia itu, lebih-lebih lagi apabila kita bolos seawal minit yang pertama!

Namun, Harimau Malaya yang dihantar ke China ini bukanlah Harimau Malaya tua yang mudah koyak akalnya, yang telah hilang taringnya dan sudah ditertawakan belangnya. Harimau yang hadir di China ini adalah Harimau yang baru.

Selepas tersentak dengan gol awal itu, Malaysia mempamerkan semangat juang yang tinggi dan tidak berputus asa.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee benar-benar bersemangat untuk membuktikan bahawa Malaysia bukan lagi pasukan picisan di pentas Asia. Segala hantaran, bentesan dan cubaan dilakukan dengan cermat demi mengelakkan kita kehilangan penguasaan bola.

Hasilnya, pasukan Korea Selatan yang awalnya tidak menjangkakan perlawanan sengit, buntu dan tersipu-sipu malu apabila wisel ditiup pengadil untuk separuh masa pertama setelah merasakan bahawa lawan mereka ini bukan calang-calang.

Di bilik persalinan, Datuk Ong Kim Swee memberikan arahan taktikal untuk separuh masa kedua untuk anak-anak didiknya bangkit. Kata-kata motivasi digarapkan untuk membangkitkan semangat Malaysia Boleh dalam diri mereka.

Hal ini kerana beliau percaya, semua pemain yang dibawa ke China bersamanya pada hari itu mampu memberikan tentangan yang jitu kepada pasukan Korea Selatan.

Hasilnya, Malaysia berjaya membuatkan pasukan Korea Selatan menekan butang panik apabila tandukan penyerang sensasi Sukan SEA yang lalu, N.Thanabalan menewaskan penjaga gawang mereka di minit ke-67.

Tandukan tersebut adalah simbol kebangkitan kita. Ia adalah lambang kepada penyataan “bola sepak Malaysia tidak bodoh lagi”. Ia adalah isyarat yang kita mampu mencipta sejarah jika kita percaya kita mampu.

Di saat rakyat Malaysia mula memikirkan yang kita mungkin layak ke separuh akhir dan ia bukan sekadar angan-angan kosong lagi, kita dikejutkan dengan gol ke-2 Korea, 5 minit sebelum masa perlawanan tamat.

Saat pengadil meniup wisel, ia kedengaran seperti tiupan sangkakala kecil bagi seluruh peminat bola sepak Malaysia. Kita telah gagal ke separuh akhir.

Namun, ini bukanlah sebuah cerita kegagalan. Bukan.

Ini adalah sebuah cerita tentang bagaimana sekumpulan anak-anak muda yang tidak diberikan harapan terlalu tinggi, mampu membuatkan seluruh bangsa Malaysia bangkit bertepuk tangan dari kerusi empuk yang mereka duduk.

Walaupun kita telah tewas, kita tewas secara bermaruah dan memberitahu dunia bahawa mereka perlu berhati-hati dengan masa depan skuad Harimau Malaya.

Kami di SemuanyaBOLA merasa terpanggil untuk memberi peluang rakyat Malaysia berpantun mengenai reaksi mereka tentang prestasi skuad negara di pentas Piala AFC B23.

Berikut adalah 10 pantun terbaik pilihan kami di Twitter:

https://twitter.com/HilmiHirumi/status/954736362535641092

Perlawanan menentang Korea Selatan ini sebenarnya besar bagi kita. Ia adalah simbolik kepada perjuangan kita di pentas bola sepak Asia- yang sekian lama dipandang enteng oleh rakyat kita sendiri.

Percayalah wahai rakyat Malaysia, zaman “cikai” bola sepak Malaysia pasti akan berlalu. Kini, kita sudah mula melihat sinar dalam terowong gelap yang kita sedang lalui ini.

Teruskan percaya pada skuad negara. Turunlah ke stadium apabila mereka beraksi. Sarunglah jersi untuk menunjukkan sokongan kepada mereka.

Jika dahulunya ada yang melebelkan pemain-pemain bola sepak Malaysia hanya bermain demi duit, kini anda patut sedar yang pemain-pemain muda ini benar-benar bermain demi lencana di dada.

Mengaumlah Malaysiaku!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN