Presiden FIFA, Gianni Infantino telah memberi jaminan yang teknologi Video Assistant Referee (VAR) bakal dilaksanakan secara menyeluruh dalam dunia bola sepak tidak lama lagi.
Jaminan ini diberikan oleh beliau selepas beliau melihat kejadian gol Barcelona ketika kemenangan epik mereka menentang PSG dalam aksi UEFA Champions League pusingan 16 terakhir.
Gol yang dimaksudkan adalah gol penalti yang diberikan selepas Luis Suarez dijatuhkan dalam kotak penalti.
Baginya, insiden tersebut merupakan contoh terbaik kenapa kadang kala teknologi perlu dalam bola sepak untuk mengelakkan kontroversi yang keterlaluan.
Bantu pengadil
Infantino juga telah memberikan pendapat beliau untuk mengenai bantuan teknologi VAR dalam bola sepak.
“Teknologi VAR ini akan digunakan di masa hadapan secara menyeluruh dengan harapan ia akan membantu pengadil membaiki kesilapan mereka.”
“Dalam soal penalti itu, saya pun tidak pasti sama ada ia merupakan kesilapan pengadil atau pun tidak.”
“Tetapi jaminan saya adalah, di masa hadapan kita akan saksikan kesilapan pengadil yang jelas akan dibetulkan dengan bantuan teknologi.”
Infantino juga menolak yang situasi itu merupakan hasil daripada ketidakadilan pengadil.
“Saya tak rasa pengadil berlaku berat sebelah dalm hal ini. Dalam hal ini kita tinggalkan kepada pengadil untuk buat penilaian.”
“Kadang kala kita rasa kita nampak semua yang berlaku, tapi hakikatnya tidak.”
Namun begitu, Infantino memuji perlawanan tersebut yang disifatkan beliau sebagai perlawanan yang cukup hebat.
“Perlawanan Barcelona dan juga PSG itu menyaksikan perlawanan itu sebagai contoh kenapa bola sepak adalah sukan yang hebat.”
Baca juga: Wenger Yakin Menang Hati Penyokong Arsenal Seperti Enrique Di Barcelona