Nampaknya, satu dari pelbagai drama mengenai pengadil Liga Malaysia sudah bermula dan Manjung menjadi garis pemulanya.
Pasukan PKNP FC bakal melakukan aduan kepada pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas pengadil gagal memberikan sepakan penalti kepada mereka.
Menurut laman Bernama, pasukan PKNP FC yang tewas kepada Kedah dengan jaringan 0-2 dinafikan insiden itu selepas bola terkena tangan pemain Kedah ketika hendak menghalang rembatan pemain tuan rumah.
Insiden itu memberikan reaksi dari kalangan pemain PKNP FC dan juga penyokong mereka yang mahukan sepakan penalti diberikan.
Namun begitu, ianya tidak diendahkan oleh pengadil Razlan Joffri Ali semalam.
Kejadian itu berlaku semasa kedudukan perlawanan masih lagi pada 0-1, dan jika penalti itu diberikan semestinya dapat mengubah cerita perlawanan tersebut.
Ianya turut diakui oleh jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim ketika bercakap kepada Ahmad Shahrul Azhar selepas perlawanan.
“Mengenai penalti itu, ada pemain Kedah sendiri kata kepada saya yang itu ialah penalti. Jika diberikan, kedudukan pasti boleh menjadi 1-1.”
Insiden tersebut merupakan sebahagian daripada malam tidak bernasib baik buat PKNP FC.
Mereka tewas kepada Kedah dengan jaringan 0-2 hasil penyudah dari Shakir Hamzah dan juga Jonathan Bauman.
Ia memberikan 3 mata pertama buat Aidil Shahrin dalam perlawanan pertama kompetitif beliau sebagai ketua jurulatih Kedah.
Anda boleh baca laporan perlawanan semalam dengan klik di sini.