MSL2019: Aidil Shahrin Peroleh Kemenangan Pertama Sebagai Jurulatih Kedah

PKNP FC memulakan kempen Liga Super 2019 (MSL2019) mereka dengan menentang pasukan Kedah di Stadium Perbandaran Manjung.

Kedua-dua pasukan menunjukkan tujuan yang jelas untuk mencari gol awal.

PKNP dan Kedah tidak segan silu untuk menggerakan pasukan ke hadapan untuk cuba mencipta serangan ke atas lawan masing-masing.

Namun separuh masa pertama berakhir dengan kekecewaan apabila kedua-dua pasukan gagal menunjukkan kualiti serangan mereka.

Hal ini kerana, tiada sebarang percubaan tepat dihasilkan oleh kedua-dua pasukan – semuanya hanyalah rembatan yang melewati palang gol sahaja.

Separuh masa kedua jelas memberikan aksi bola sepak yang lebih baik buat mereka yang menyaksikan perlawanan ini.

Kedah kekal sebagai pasukan yang mempunyai sedikit kelebihan dalam perlawanan ini apabila menggerakan serangan ke arah kubu PKNP FC.

Baddrol Bakhtiar menujukkan kebolehan beliau sebagai pakar sepakan percuma sejak dari separuh masa pertama lagi.

Jika di 45 minit pertama, beliau banyak melakukan hantaran berbahaya menerusi situasi itu, di separuh masa kedua beliau sendiri yang melakukan percubaan.

Kedah berjaya juga mendapatkan gol pendahuluan apabila sepakan penjuru Baddrol berjaya memberikan peluang kepada Shakir Hamzah untuk menjaringkan gol pertama beliau bersama Hijau Kuning.

Shakir menampan mudah bola itu ke dalam pintu gol untuk memberikan pendahuluan kepada Kedah pada minit ke-66.

PKNP FC mempunyai inspirasi dari Hafiz Kamal yang masuk sebagai pemain gantian, beliau jelas memberikan idea kepada PKNP FC dalam usaha untuk mendapatkan gol.

10 minit terakhir menyaksikan PKNP FC berjaya mendapatkan percubaan menerusi Yashir Pinto namun rembatan padu beliau dihalang pertahanan Kedah.

Peluang terbaik mereka adalah menerusi Thomas Abbey yang melakukan sepakan gunting dari jarak 4 meter, namun ianya melewati palang gol.

PKNP FC turut dinafikan sepakan penalti oleh pengadil apabila rembatan pemain tuan rumah terkena tangan lawan, namun ianya tidak diendahkan oleh pengadil.

TIdak lama selepas itu Kedah berjaya mendapatkan gol kedua menerusi Jonathan Bauman yang melakukan penyudah kemas untuk menewaskan Amar Asyraaf di pintu gol pada minit ke-87.

Secara keseluruhannya, perlawanan ini dilihat sebagai perlawanan yang terbuka kerana kedua-dua pasukan bebas melakukan serangan cuma ketumpulan penyudah menjadi masalah.

Perlawanan ini juga dihiasi dengan pelbagai kekasaran yang memaksa pengadil Razlan Jofrri Ali menghentikan permainan dengan kerap. Ianya sedikit menggangu momentum perlawanan.

Keputusan penuh, PKNP FC 0-2 Kedah

Kesebelasan utama

PKNP FC: Amar Asyraaf (penjaga gol), Sukri Hamid, Fadhil Idris, Siyovush Asrorov, G. Mugenthiran (Hafiz Kamal 71′), Yashir Pinto, Thomas Abbey, Ezanie Salleh, Kalidou Yero (Asyraf Sahizah 90′), Hafiz Ramdan (ketua pasukan), Filemon Standly

Kedah: Ifwat Akmal (penjaga gol), Renan Alves, Anmar Almubaraki (Farhan Roslan 81′), Baddrol Bakhthiar (ketua pasukan), Zaquan Adha (Syahrul Azwari 86′), Fernando Ortega, Jonathan Bauman (Syazwan Tajudin 90+3′), Shakir Hamzah, Rizal Ghazali, Fadzrul Nizam, Alif Yusof

Pegawai perlawanan

  • Pengadil: Razlan Jofrri Ali
  • Pembantu pengadil 1: Arif Abd Rasid
  • Pembantu pengadil 2: Hamdi Omar
  • Pengadil ke-4: Jeffri Zolkefli

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN