Pihak Persatuan Bola Sepak England, atau lebih dikenali sebagai The Football Association (FA) telah menulis surat permohonan maaf kepada Tottenham Hotspur dan Manchester United untuk tujuan permohonan maaf.
Surat permohonan maaf oleh FA kepada kedua-dua finalis Piala FA itu dihantar selepas akaun twitter rasmi milik Piala FA milik persatuan itu membuat satu muat naik yang mempersendakan Harry Kane, sejurus selepas wisel penamat ditiup.
Spurs dan United jelas sama-sama tidak senang dengan gurauan dibuat ke atas Harry Kane itu. Kane yang turut merupakan calon kapten England di Piala Dunia yang berlangsung di Rusia pada musim panas akan datang turut dikatakan tersingung.
Apatah lagi muat naik yang dianggap sebagai gurauan itu tiba di minggu-minggu paling sukar buat penyerang berusia 24 tahun itu.
Selepas wisel penamat yang menyaksikan United menang 2-1 ke atas Spurs dalam perlawanan separuh akhir Piala FA di Stadium Wembley pada Sabtu lalu, satu muat naik bertulis:
“Apakah yang berada di dalam poket anda Chris?’—dan caption tersebut turut disertai dengan sebuah video yang menayangkan pemain pertahanan United, Chris Smalling yang menjawab: ‘Harry Kane'”.
Muat naik itu dilakukan oleh admin akaun tersebut dari Stadium Wembley. Ia turut membuatkan individu penting di dalam organisasi tersebut marah.
Sudah tentu, muat naik tersebut telah menarik perhatian ramai, dan telah di-retweet lebih daripada 20,000 kali sebelum ia dipadamkan.
Wakil daripada FA mengesahkan kepada ESPN bahawa surat permohonan maaf telah dihantar kepada kedua-dua kelab.
Kane telah menjadi subjek jenaka bukan sahaja di England, malah di seluruh dunia selepas menuntut gol yang pada asalnya diberikan kepada Christian Eriksen dalam perlawanan menentang Stoke pada 7 April lalu.
Mungkin ini adalah contoh gurauan tidak kena pada tempat.