Tiga gol hasil corak dan ‘set-play’ yang sama memberikan Selangor FC bekalan selesa apabila membenam Terengganu FC dengan keputusan 3-1.
Di Stadium MBPJ, Richmond Ankrah, Herlison Caion dan Sharul Nazeem mencipta gol menerusi tandukan berpunca daripada sepakan penjuru yang diambil Mukhairi Ajmal untuk membolehkan anak buah Tan Cheng Hoe semakin hampir melangkah ke pentas final Piala Malaysia 2022.
Kedua-dua pasukan turun dengan barisan pemain terbaik mereka tanpa sebarang masalah kecederaan atau penggantungan, namun dapat dilihat berlaku ‘rotation’ pemain di kem Terengganu, sementara Selangor turun tanpa dua pemain import utama, Baha’ Abdelrahman dan Yazan Al-Arab.
‘The Red Giants’ terlebih dahulu menunjukkan kemahuan mereka untuk mengawal tempo perlawanan sebelum ‘Sang Penyu’ kembali mendapat rentak permainan mereka selepas 10 minit aksi berlangsung. Pada awalnya, mereka dilihat sedikit bermasalah untuk membina asakan yang kemas.
Namun, minit ke-19, mereka akhirnya berjaya memecah kebuntuan. Kapten, Kipre Tchetche meledak gol pembukaan menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti yang mengelirukan penjaga gawang, Khairulazhan Khalid – rembatan rendah namun deras yang membuahkan hasil buat mereka.
19' GOL | Sepakan percuma Tchetche Kipre menewaskan Khairulazhan Khalid untuk gol pembukaan!@selangorfc 0-1 @FCTerengganu #TMPialaMalaysia2022 pic.twitter.com/FKMXRr1Izc
— Malaysian Football League (@MFL_MY) November 16, 2022
Lebih kurang 10 minit sebelum itu, pelawat memperolehi sepakan percuma di kedudukan yang hampir sama, namun ia gagal dimanfaatkan mereka.
Minit ke-8, Mukhairi Ajmal mencipta percubaan pertama buat tuan rumah, namun ia hanyalah rembatan tersasar yang jauh dari gawang lawan. Ia diikuti empat minit kemudian menerusi rembatan tersasar oleh Caion yang gagal menggugat penjaga gawang Terengganu, Suhaimi Husin di pintu gol.
Tiga minit selepas jaringan Kipre, Kpah Sherman hampir meledak gol kedua, namun percubaannya sempat dikeluarkan oleh pertahanan Selangor.
Giliran Manuel Ott pula menguji Khairulazhan, namun bekas penjaga gol utama skuad kebangsaan itu berjaya menafikan rembatan tersebut.
37' GOL | Richmond Ankrah menyamakan kedudukan dengan gol pertamanya untuk Selangor!@selangorfc 1-1 @FCTerengganu #TMPialaMalaysia2022 pic.twitter.com/iWyfLINRJS
— Malaysian Football League (@MFL_MY) November 16, 2022
43' GOL | Caion meletakkan Selangor di hadapan menerusi tandukan ini!@selangorfc 2-1 @FCTerengganu #TMPialaMalaysia2022 pic.twitter.com/qAijofISfF
— Malaysian Football League (@MFL_MY) November 16, 2022
Richmond Ankrah menggamatkan stadium apabila menanduk masuk sepakan penjuru Mukhairi untuk gol penyamaan pada minit ke-37. Skrip yang sama dicipta tuan rumah enam minit kemudian untuk jaringan kedua – giliran Herlison Caion pula menanduk masuk sepakan penjuru Mukhairi.
10 minit terakhir menyaksikan Terengganu ditenggelamkan Selangor dengan penguasaan permainan serta ‘urgency’ dipamerkan oleh lawan.
Permulaan babak kedua menyaksikan Terengganu cuba memberi tekanan ke benteng lawan, namun gandingan Sharul Nazeem dan Ankrah masih kental menyerap sebarang tekanan. Mereka turut dibantu oleh Quentin Cheng dan Fazly Mazlan yang bergerak di bahagian sisi kiri dan kanan.
Minit ke-54, giliran bek tengah, Sharul Nazeem mencipta gol ketiga – juga menerusi gerakan sama, sepakan penjuru yang diambil oleh Mukhairi.
54' GOL | Selangor meledak sekali lagi menerusi tandukan! Sharul Nazeem menambah gol ketiga tuan rumah.@selangorfc 3-1 @FCTerengganu #TMPialaMalaysia2022 pic.twitter.com/IqAgwd9PGl
— Malaysian Football League (@MFL_MY) November 16, 2022
Terengganu dilihat bermasalah dari segi ‘marking’ dan juga ‘defending set-play’ berdepan Selangor. Pape Diakite dan Shahrul Nizam gagal memberi karekter bertahan seperti mana sebelum ini yang mana mereka telah berhasil melakar sembilan kemenangan berturut-turut sejak September lalu.
Minit ke-73, ‘The Red Giants’ hampir menambah lagi derita buat anak didik Nafuzi Zain, namun gol Caion dibatalkan disebabkan telah ‘offside’.
Terengganu cuba bangkit menerusi percubaan Kipre, namun rembatan derasnya cemerlang ditepis Khairulazhan yang tangkas di gawang golnya.
Tiga minit sebelum perlawanan berakhir, Kpah hampir mencipta gol kedua pelawat, namun rembatannya hanya singgah ke palang gol tuan rumah.
Tiada tambahan gol mampu dicipta kedua-dua pasukan menyaksikan Selangor membawa bekalan tiga gol ke Kuala Terengganu untuk aksi kedua.