Pengendali pasukan Sabah, Jelius Ating menghamburkan pujian kepada anak buahnya yang tidak putus asa memburu jaringan kemenangan ketika menewaskan Selangor, 2-1 dalam aksi Piala Malaysia di Stadium Likas semalam.
Beliau berkata kepada Stadium Astro, menjelaskan kesungguhan dan semangat juang tinggi menjadi faktor kepada kebangkitan pasukan Sabah.
“Pemain-pemain sekali lagi membuktikannya, mereka tidak putus asa selagi wisel penamat belum dibunyikan pengadil dan akhirnya kami berjaya memenangi perlawanan walaupun di penghujung permainan.
“Kemenangan ke atas Selangor juga sangat manis buat saya kerana kita tahu pasukan ini sangat sinonim dengan Piala Malaysia. Mereka (Selangor) bermain baik malam ini tapi kami berjaya mengatasi tekanan yang diberikan mereka,” katanya.
Dalam aksi malam tadi, dua pemain gantian, Rahman Shah Marajeh dan Ricco Nigel Milus, menjadi wira Sabah apabila masing-masing meledak gol pada minit ke-82 serta masa kecederaan, sekali gus memastikan kemenangan bergaya pasukan itu.
Walaupun mereka mencatat dua kemenangan berturut-turut dalam saingan Piala Malaysia setakat ini, namun begitu, Julius enggan berpuas hati kerana masih ada banyak kelemahan yang perlu diperbaiki.
“Memang secara keseluruhan saya berpuas hati dengan persembahan pasukan dalam tiga perlawanan lalu, termasuk ketika seri dengan Pahang di Kuantan, namun, kami harus memperkuatkan lagi bahagian tengah.
“Jika kita tengok perlawanan malam ini (malam tadi), kami terlalu banyak memberi ruang kepada Selangor di bahagian tengah sehingga membolehkan mereka menguasai bola, kami harus tingkatkan lagi kualiti di bahagian ini,” tambah Jelius.
Sabah kini berada di tangga kedua dan berkongsi tujuh mata dengan Pahang yang kini mendahului Kumpulan D dengan kelebihan jaringan.