Sudah 153 Kelab Itali Muflis Sejak 2002, Apa Yang Kita Boleh Pelajari Daripadanya

Beberapa minggu lalu, penduduk di bandar Bari meratapi kelab mereka Bari FC akhirnya diisytihar muflis. Kelab yang melahirkan Leonardo Bonucci, Ranocchia, Cassano, Kamil Glik dan Okaka dan ramai lagi.

Ini diikuti oleh beberapa kelab lagi termasuk Cesena, Reggina dan Modena.

Muflis dalam bola sepak Itali

Salah satu perkara yang sangat ditakuti oleh mana-mana penyokong di dunia adalah muflisnya kelab yang mereka sokong terutama di Itali.

Ini kerana di Itali, anda tidak boleh lagi menggunakan nama kelab yang sudah diiktiraf muflis. Fiorentina terpaksa membeli semula nama kelab mereka selepas muflis dan menggunakan ACF Fiorentina.

Sebelum itu mereka terpaksa menggunakan Fiorentina Viola.

Ada pembaca kami bertanya, kenapa daripada 5 liga utama Eropah, Serie A adalah liga yang selalu berdepan kes kelab muflis? Bukan liga lain tak ada, tetapi di Serie A ianya seperti kritikal.

Ini adalah perkara yang membuatkan kita di Malaysia boleh belajar sesuatu daripada bola sepak Itali.

Menurut Football Italia, sejak 2002, sebanyak 153 kelab bola sepak profesional di Itali muflis dan dijenamakan semula. Ini termasuk nama besar seperti Fiorentina dan Parma.

Purata lebih 9 kelab muflis setiap musim di Itali.

Cabaran bola sepak moden

Cabaran pada bola sepak moden hari ini adalah sangat dahsyat. Survival sesebuah pasukan itu diuji.

Untuk kelab kecil seperti Bari, mereka tidak mampu menghasilkan produk yang boleh dijual berjuta euro pada pasaran perpindahan semasa.

Mereka pernah melakukannya dahulu dengan penjualan Rannochia dan Bonucci. Ketika itu mereka berjaya membuatkan akaun kelab yang dalam paras kritikal menjadi positif ataupun untung sekitar €14 juta.

Namun selepas itu Bari gagal melakukan penjualan seperti itu lagi. Dan wang itu telah disalah tadbir.

Kos operasi semakin meningkat dan harus diakui, kegagalan mentadbir juga sentiasa menjadi punca kepada permasalahan ini..

Pentadbiran bola sepak hari ini memerlukan seorang yang sangat pandai berniaga dan tahu kelab anda adalah kelab pembekal (feeder) ataupun kelab pembeli.

Feeder dalam istilah disini bukanlah merujuk kepada kefahaman kita kepada pasukan pembangunan ataupun pasukan simpanan. Ia merujuk kepada pasukan yang menghasilkan pemain dan lebih cenderung untuk menjual jika ada tawaran.

Kelab seperti Genoa, Atalanta, antara kelab di Itali yang berjaya menjual pemain-pemain mereka dan menampung ‘hayat’ kelab mereka.

Pengurusan liga

Di Itali, selain daripada kegagalan pengurusan kelab, kegagalan pengurusan liga juga harus digariskan. Di England mereka berjaya mendapatkan hak penyiaran yang besar untuk EPL dan Liga Championship.

Premier League turut memberikan hadiah kemenangan play-off yang sangat tinggi mencecah ratusan pound. Itu semua untuk membantu kelab mereka dalam menghadapi musim EPL.

Di England juga sangat tegas dalam soal kawalan kewangan. Mereka negara pertama memperkenalkan Financial Fair Play yang kemudiannya diimplementasi di UEFA.

Di Serie A, terlalu banyak kesalahan melibatkan kewangan ini yang berselindung di sebalik butiran yang mengelirukan.

Pengurusan liga mereka boleh dianggap ego dan sangat perlahan untuk berevolusi.

Mereka adalah francais liga yang sangat gah pada era 90-an. Ramai pemain bertaraf dunia akan ke Serie A kerana ia adalah liga yang dianggap nombor 1.

Namun perlahan-lahan mereka jauh ditinggalkan La Liga, EPL, Bundesliga bahkan Ligue 1 pun boleh dikatakan hampir mengatasi populariti mereka.

Hidup dalam penafian

Seorang peminat bola sepak di Itali menyatakan:

“Di Itali, semua orang ego dan berlagak dan tak mahu kalah. Hakikatnya kita sendiri tak berusaha memartabatkan liga dan mencari jalan membantu liga bola sepak naik.”

Ketika mereka gagal melayakkan diri ke Piala Dunia 2018, ramai penyokong dan tokoh bola sepak mereka yang enggan dikritik.

Lihat sahaja cara mereka menguruskan bakat muda. Mereka tidak ada keyakinan memberikan transisi kepada pemain muda. Anda bayangkan jika Buffon tak umum persaraan, mereka mungkin tetap akan menggunakan penjaga gol itu lagi.

Bukan hendak menafikan kemampuan Buffon tetapi beliau sendiri menyatakan yang beliau risau akan pembangunan bakat muda lain jika beliau tak berundur.

Itali terlalu ramai bakat muda yang hanya menjadi watak sampingan yang hanya diketengahkan dalam keadaan terdesak.

Jerman menggunakan penjaga gol dan pemain pilihan ke-3 atau ke-4 mereka pada Piala Konfederasi 2017.

Anda jangan sesekali membincangkan kegagalan Itali secara terbuka. Beberapa tokoh seperti Arrigo Sacchi yang lantang membidas pengurusan dan bola sepak mereka, hanya dipandang remeh.

Dalam buku John Foot, beliau menyatakan, pada 2002, mereka lebih tertarik untuk menyalahkan Korea Selatan dan pengadil ketika tersingkir daripada Piala Dunia daripada melihat kelemahan mereka sendiri terlebih dahulu.

Itulah juga menjadi sebab kenapa banyak salah laku di Itali diselindung dan ditutup. Maka terjadilah beberapa skandal besar dalam bola sepak Itali termasuk calciopoli.

Aset kelab

Di Itali, bola sepak sudah bertapak beratus tahun namun banyak pasukan masih bermain di stadium milik kerajaan ataupun majlis perbandaran.

Kelab segah AC Milan dan Inter Milan sendiri masih menyewa di San Siro milik Majlis Bandaraya Milan. 2 kelab itu bersetuju menyewa bersama stadium itu sejak 1947.

Pada tahun 1980, Milan City Council bersetuju menamakan stadium itu Stadio Giuseppe Meazza. Namun apa yang 2 kelab ini dapat daripada penjenamaan itu?

Hanya Juventus yang mengorak langkah melabur untuk stadium sendiri.

Ini kerana, Juventus berpendapat, lebih banyak masalah akan timbul jika berterusan menyewa di Stadium Olimpico.

Apabila menyewa di stadium milik kerajaan ataupun majlis perbandaran, anda akan berhadapan dengan ahli politik yang suka mengambil kesempatan.

Seterusnya, Juventus pernah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak mahu dicukai terlalu tinggi kerana menggunakan harta awam dan tidak tahu ke mana aliran wang itu?

Kesannya, pasukan ini tiada aset yang bernilai untuk menjamin kewangan mereka. Jika di England dan Sepanyol, kelab boleh menjual nama stadium dengan nilai berjuta. Di Itali itu mustahil, kerana itu bukan harta mereka.

Tidakkah mereka malu dengan Juventus yang baru bangkit daripada Calciopoli, membentuk pasukan dengan model pembangunan mereka dan beberapa tahun selepas itu ada stadium sendiri?

Juventus membina stadium yang lebih kecil daripada yang mereka sewa sebelum ini. Allianz Juventus Stadium berkapasiti 41,507 sahaja. Mereka menjual nama stadium dengan nilai €15 juta untuk 6 tahun.

Bayern Munich menjual hak penjenamaan stadium mereka €16.4 juta semusim dalam kontrak baru mereka 2023-2031.

Aset lain pastinya melibatkan nilai kelab di mata pelabur. Kelab yang ada kawasan tanah sendiri untuk beroperasi.

Seterusnya adalah nilai para pemain dalam kelab tersebut. Semua ini merangkumi aset yang boleh memberikan pulangan ataupun cagaran kepada kelab.

Bola sepak, kuasa jurulatih dan politik

Dalam  buku Football and Supporter Activism in Europe: Whose Game Is It? Penulis menegaskan yang di Itali, ramai tokoh dan ahli politik menjadikan kelab bola sepak sebagai alat untuk meneruskan survival politik mereka.

Ramai yang menguruskan kelab ataupun pasukan bola sepak ini tidak ada kepakaran yang tinggi dalam perniagaan industri sukan. Yang mereka tahu, buat kelab bola sepak untuk menang piala dan membantu mempromosikan entiti dan rantaian perniagaan mereka yang berkaitan.

Seterusnya adalah kuasa penyokong yang tidak terkawal. Di mana puak ultras di Itali terlalu berkuasa. Fabio Capello pernah menyatakan di Itali, yang ‘menguruskan’ pasukan adalah Ultras.

Kenyataan itu dipersetujui oleh Claudio Ranieri. Ketika di Juventus Ranieri pernah menyatakan beliau mahukan Dejan Stanjkovic. Apa yang berlaku, bidaan itu tak diteruskan kerana penyokong.

Dalam kenyataan beliau pada 2009: 

“Saya boleh katakan musim lalu, Juventus mahukan Dejan dari Inter. Tetapi penyokong melancarkan bantahan kerana dia pemain Inter. Itu yang membuatkan pengurusan tak membida dan dia kekal di Inter.”

“Tengoklah betapa bagusnya dia bermain di liga pada hari ini.”

Presiden kelab akan cuba sedaya upaya memenangi hati ultras ini dan sanggup mengambil tindakan populis termasuk memecat jurulatih walaupun jurulatih tersebut berkaliber.

Cuma tidak mendapat sokongan dari segi mendapatkan pemain dan kemudahan yang beliau mahukan.

Model yang memisahkan peranan pengurus dan jurulatih masih wujud di Itali. Mirip dengan bola sepak kita. Di mana kuasa ketua jurulatih sangat terhad.

Sedangkan di England dan Sepanyol, ketua jurulatih adalah orang yang bertindak menjadi pengurus dan mereka ada kuasa menguruskan dana yang diberikan kepada mereka termasuk melantik staf kejurulatihan.

Sebab itu juga obligasi ataupun rasa tanggungjawab pemain dan pembantu jurulatih (yang dilantik pengurus) adalah rendah.

Di Manchester United, Mourinho memilih sendiri pembantu beliau dan menamatkan khidmat Ryan Giggs. Di Itali, perlantikan pembantu jurulatih boleh dibuat oleh pengurus pasukan. Namun ramai juga pengurus memberikan kebebasan kepada ketua jurulatih mengendalikan perkara ini.

Di Malaysia, pembantu jurulatih biasanya tidak akan ada rasa tanggungjawab lebih besar untuk mempertahankan ketua jurulatih kerana mereka sama-sama dilantik pengurus.

Beberapa kes di Malaysia, apabila ketua jurulatih dipecat atau ditekan, pembantu jurulatih tidak akan mempertahankan ketua jurulatih mereka.

Mereka tahu itu akan buatkan mereka hilang kerja. Sedangkan sebagai pembantu ketua jurutalatih, anda orang yang bersama-sama ketua jurulatih merangka perancangan pasukan.

Di England, Rui Faria akan pergi jika Mourinho pergi kerana dia tahu, gagalnya Mourinho, dia pun gagal.

Jadi isu ‘mismanage’ di peringkat kelab juga kerap menjadi masalah utama dalam bola sepak di Itali.

Era baru selepas ini?

Bermula musim 2018/19, Serie A akan menerima sekitar €1.05 billion setahun daripada hak penyiaran.

Kehadiran bintang yang berpublisiti besar seperti Cristiano Ronaldo boleh membantu mereka menaikkan lagi nilai komersil liga ini.

Namun persoalannya kini, adakah pembahagian hak penyiaran ini akan membolehkan kelab mendapat pecahan yang besar?

Ini kerana, seperti yang dinyatakan di atas, kuasa ahli politik dan majlis perbandaran sangat subjektif dan mereka boleh mengubah dasar pada bila bila masa.

Ini termasuk mengenakan kenaikan cukai dan juga sewaan stadium. Perkara ini sudah dalam senarai risiko yang non-variable (fixed) cost  di tempat lain tetapi agak variable cost yang boleh jangka oleh pengurusan di sana.

Rumusan

Entah kenapa sepanjang menulis artikel ini saya hanya melihat cerminan bola sepak kita ada di Itali cuma bezanya mereka lebih kaya dan bola sepak lebih maju, ada pasukan kebangsaan yang kuat.

Mereka juga ada fanbase yang besar dan sentiasa menyokong pasukan mereka dalam keadaan jatuh dan bangun. Seterusnya, nilai liga mereka jauh lebih tinggi dari segi penyiaran berbanding dengan kita.

Di Malaysia, sudah banyak kelab-kelab liga utama kita yang muflis sebelum ini. Dan masalahnya hampir sama dengan apa dialami di Itali.

Jika di Itali pasukan J mereka memulakan langkah drastik untuk keluar daripada kepompong, di Malaysia, pasukan sinonim dengan J iaitu JDT sudah memulakan langkah membina stadium milik mereka secara persendirian.

Harap ia akan dapat menjadi inspirasi pengurusan pasukan lain. Tak perlu stadium besar, cukuplah yang kecil dan praktikal. Bournemouth pun bermain di stadium kecil.

Sudah tiba masanya bola sepak di Itali beredar mengikut arus perubahan bola sepak moden. Ini untuk mengelakkan lebih banyak kelab yang sudah ditubuhkan beratus tahun lamanya, bungkus.

Ini untuk mengembalikan semula prestij Serie A yang menjadi idaman kesemua pemain muda dan bintang pada satu ketika dahulu.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN