Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee, Sabah FC berjaya mengulangi pencapaian edisi 2018 – melepasi peringkat kumpulan selepas menewaskan PJ City FC dengan keputusan 1-0 untuk mara ke suku akhir Piala Malaysia 2021.
The Rhinos berhasil memintas kedudukan PJ City selepas mereka berkongsi mata sebelum aksi pada malam ini. Kemenangan hasil penalti yang disempurnakan Risto Mitrevski membawa mereka mara ke suku akhir.
Padang basah dan berlumpur telah mengganggu rentak kedua-dua pasukan dalam cubaan untuk mengatur asakan apabila pergerakan Sabah dan PJ City sering tersekat-sekat. Dengan formasi yang sama digunakan kedua-dua pengendali, ia juga menyaksikan kesukaran mereka untuk saling menembusi defensive third lawan.
Kali pertama Kim Swee dilihat turun tanpa N. Thanabalan di jentera serangan dengan percubaan menggunakan gandingan Harith Naem, Amri Yahyah dan Nazirul Naim. Alto Linus dan Ummareng Bacok di posisi bek sayap.
Akhirnya kesilapan yang dilakukan Salamon Raj menjatuhkan Park Tae-soo untuk menghadiahkan tuan rumah sepakan penalti. Ia berjaya disudahkan kapten, Risto Mitrevski untuk gol pertama perlawanan di minit ke-21.
Tidak menunggu lama, lima minit kemudian, PJ City berhasil mencipta jaringan penyamaan namun, ia telah dibatalkan oleh pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakaria apabila sepakan percuma K. Gurusamy yang ditepis Rozaimie Rohim disambar Youwarasan Maniom yang terlebih dahulu berada dalam kedudukan offside.
21' GOL | Kapten Sabah, Risto Mitrevski menyudahkan sepakan penalti untuk gol pendahuluan di Kota Kinabalu!@SabahFCofficial 1-0 @pjcityfc #TMPialaMalaysia2021 pic.twitter.com/Yzy4LcR1fS
— Malaysian Football League (@MFL_MY) November 9, 2021
Sukar memecah blok pertahanan Sabah, PJ City tampak cuba menggunakan kekuatan di sebelah sayap kanan atau kiri bagi membuat hantaran lintang ke dalam kotak penalti dan hampir meledak gol antaranya di minit ke-42 menerusi tandukkan penyerang, Ruventhiran Vengadesan yang sedikit sipi di sebelah kiri gawang gol.
Pengendali PJ City, P. Maniam meletakkan harapan kepada gandingan Darren Lok, Ruventhiran Vengadesan dan R. Kogileswaran untuk menggerakan jentera serangan, namun keadaan padang membataskan mereka.
Dua minit sebelum itu, Sabah hampir meledak gol kedua namun penjaga gol pelawat, Kalamullah Al-Hafiz tangkas menafikan tandukkan terbang Nazirul Naim di depan gawang, hasil hantaran lambung Amri Yahyah.
Walaupun tiada pertukaran pemain dilakukan oleh kedua-dua pengendali di permulaan babak kedua, PJ City tampak lebih bernafsu memburu jaringan sebaik sahaja wisel permulaan babak kedua ditiup oleh pengadil. Benteng pertahanan Sabah dilihat cemerlang membendung asakan yang cuba dicatur oleh pasukan pelawat.
Minit ke-55, rembatan volley Amri Yahyah di depan gawang The Phoenix berjaya menewaskan penjaga gol namun, K. Prabakaran yang berada di atas garisan gol telah mengeluarkan percubaan oleh Amri Yahyah itu. Tidak lama selepas itu, rembatan deras Ruventhiran Vengadesan telah diselamatkan oleh Rozaimie Rohim.
📊 KEDUDUKAN PERINGKAT KUMPULAN – PM6
Sabah FC berjaya ke suku akhir Piala Malaysia! #TMPialaMalaysia2021 pic.twitter.com/ZOyLVCgnbF
— Malaysian Football League (@MFL_MY) November 9, 2021
Terdesak untuk mencipta gol, P. Maniam membuat beberapa pertukaran pemain dengan mengeluarkan antaranya Darren Lok yang bergelut untuk mempamerkan prestasi baik di atas padang yang becak dengan memasukkan Khyril Muhymeen dan penyerang itu hampir meledak gol menerusi tandukkan di minit ke-67.
Hanya memerlukan keputusan seri dalam perlawanan ini, PJ City memasukkan lagi pemain ofensif dengan kemasukkan Syahmi Zamri. Mereka meneruskan penguasaan permainan namun, sedikit tumpul di jentera depan walaupun pada ketika itu, mereka telah pun membariskan lima pemain di kawasan final third mereka.
Minit ke-85, Park Tae-soo hampir menutup terus peluang pelawat untuk meraih keputusan seri, namun rembatan hanya tersasar dari gawang gol yang dikawal Kalamullah Al-Hafiz yang tampak sudah tertewas.
Walaupun tiada harapan diberikan di awal pertandingan, Sabah akhirnya mengatasi segala rintangan dan berhasil mara ke suku akhir selepas meraih lapan mata, tiga mata di depan PJ City serta berada 10 mata di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) yang turut mara ke peringkat suku akhir selaku juara Kumpulan D.