[VIDEO]: Magis De Paula Hasilkan Voli Cantik Mirip Ronaldo Bantu JDT Ranapkan Kelantan

Penyerang naturalisasi negara, Guilherme de Paula akhirnya menjaringkan gol sulung beliau untuk JDT pada musim ini.

Jaringan tersebut hadir untuk membantu JDT menewaskan Kelantan FC 4-0 dalam aksi terakhir Kumpulan D pertandingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV pada malam tadi.

Sudah pun berjaya melayakkan diri lebih awal ke pusingan suku akhir, Ketua Jurulatih JDT, Benjamin Mora merehatkan beberapa pemain utama. Namun ia tidak menjejaskan gergasi bola sepak tanah air itu.

Walaupun demikian, skuad Harimau Selatan terpaksa menunggu sehingga minit ke-48 untuk menjaringkan gol pertama perlawanan melalui Syafiq Ahmad.

Leandro Velazquez menjadikan kedudukan lebih selesa buat pasukan pelawat apabila pemain import dari Argentina itu menyempurnakan sepakan penalti untuk JDT mendahului 2-0 pada minit ke-60 perlawanan.

Kemudian tiba sentuhan magis dari De Paula. Bermula dengan larian S. Kunanlan dari sebelah kanan, bek sayap itu kemudiannya melakukan hantaran lintang rendah.

Beberapa pemain JDT termasuk De Paula cuba melakukan sentuhan untuk menyambut hantaran tersebut. De Paula walaupun dikawal ketat oleh pertahanan Kelantan FC bagaimanapun berjaya menghasilkan sentuhan pertama kaki kanan, untuk merembat deras bola ke dalam gawang Kelantan FC.

Shahrul Saad melengkapkan kemenangan penuh bergaya untuk JDT apabila menanduk masuk bola sepakan penjuru Safawi Rasid pada masa kecederaan.

Jika diperhatikan, jaringan tersebut adalah percubaan mirip yang dihasilkan Cristiano Ronaldo dalam perlawanan menentang Manchester City pada hujung minggu lalu.

Percubaan oleh bintang Portugal itu bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh Ederson, dan mengakibatkan Manchester United tewas 0-2 kepada lawan setempat mereka itu.

Jika ada yanng membezakan percubaan kedua-dua pemain itu, ia adalah Ronaldo menggunakan kaki kiri manakala De Paula merembat dengan kaki kanan.

Berbeza dengan Ronaldo, voli deras oleh De Paula langsung tidak memberikan peluang kepada penjaga gol Kelantan FC, Mohammad Faridzuean Kamaruddin.

Untuk rekod, De Paula menjaringkan empat gol ketika masih bersama Perak FC pada musim ini, dan jaringan pada malam tadi adalah pertama yang dihasilkan oleh pemain itu bersama JDT sejak melengkapkan perpindahan ke kelab tersebut pada jendela perpindahan kedua musim ini.

Peminat-peminat skuad Harimau Malaya pasti menarik nafas lega slepas melihat magis yang dihasilkan oleh pemain dari Brazil itu. Apatah lagi beliau dijangka akan terus mendapat kepercayaan Tan Cheng Hoe untuk mengemudi jentera serangan pasukan negara di Kejohanan Piala AFF Suzuki pada Disember nanti.

Guilherme de Paula adalah antara pemain naturalisasi negara selain daripada Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi.

Kelibat penyerang berusia 35 tahun itu bersama pasukan negara sebelum ini sering dikritik kerana ketumpulan menjaringkan gol. Setakat ini, beliau hanya mencetak satu gol untuk skuad kendalian Harimau Malaya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN