Analisis: Falsafah Bola Sepak Ong Kim Swee Yang Bakal Mengubah Sabah FC

Semalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan perletakan jawatan Datuk Ong Kim Swee sebagai Pengarah Teknikal badan induk bola sepak negara itu.

Ia sekaligus menamatkan kerjasama di antara Kim Swee dengan FAM yang sudah terjalin selama 14 tahun. Sepanjang tempoh itu, Kim Swee pernah menjawat pelbagai jawatan di FAM, antaranya sebagai ketua jurulatih skuad B-16 kebangsaan, skuad B-17 kebangsaan, skuad Harimau Muda, skuad B-23 kebangsaan, skuad kebangsaan, Ketua Unit Belia dan terakhir sebagai Pengarah Teknikal bermula Januari 2021.

Sepanjang bersama FAM beliau pernah membimbing pasukannya muncul juara Piala Belia 2007, naib juara Piala Belia 2008, juara Liga Premier 2009, pingat emas Sukan SEA 2011, juara Pestabola Merdeka 2013, pingat perak Sukan SEA 2017, suku akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 dan layak ke peringkat kalah mati pada Sukan Asia 2018.

Sabah FC pula bukan pasukan yang asing buat Datuk Ong Kim Swee. Beliau sendiri pernah beraksi bersama pasukan itu pada 1994 sehingga 1998.

Mengambil kira bekas rakan sepasukan, Scott Ollerenshaw adalah Pengarah Teknikal Sabah FC, maka ia tidak mengejutkan kedua-dua individu kembali bekerjasama untuk membangkitkan kembali pasukan yang pernah bergelar gergasi Borneo suatu ketika dahulu.

Ekspektasi penyokong

Sabah FC beraksi di Liga Super sejak dua musim lalu selepas muncul juara Liga Premier pada musim 2019. Selepas 21 perlawanan yang dilalui pada musim ini, Sabah FC sekadar mencatat empat kemenangan dan tujuh keputusan seri untuk menduduki kedudukan ke-9 dari 12 pasukan.

Keputusan tersebut menyebabkan Sabah FC mengambil langkah drastik memecat Ketua Jurulatih, Kurniawan Dwi Yulianto pada penghujung Ogos lalu. Skuad Sabah FC pada hari ini dikendalikan secara sementara oleh Burhan Ajui sambil dibantu oleh Jelius Ating.

Kim Swee pula hanya secara rasmi bergelar pengendali Sabah FC pada Oktober hadapan, dan boleh mulai membawa pasukan Sabah FC di pertandingan Piala Malaysia.

Tidak mudah untuk mengubah sebuah pasukan dalam tempoh masa yang singkat. Oleh itu, pertandingan Piala Malaysia berkemungkinan akan menjadi medan Kim Swee menguji kemampuan barisan pemain sedia ada untuk menyediakan skuad lebih mantap untuk saingan musim 2022.

Berikut pula adalah beberapa perubahan yang boleh kita jangkakan kepada pasukan Sabah FC berdasarkan pengalaman lalu jurulatih berusia 51 tahun itu.

1. Sistem lima pemain pertahanan

Di atas kertas kualiti pasukan seperti Sabah FC harus diakui masih jauh berbanding pasukan Liga Super yang lebih dominan seperti JDT, Selangor atau pun Kedah. Ini bermakna sebagai jurulatih, Kim Swee yang kaya dengan pengalaman dijangka akan mengambil pendekatan untuk bertahan menentang pasukan-pasukan sebegini.

Menentang pasukan yang lebih superior, kita boleh jangkakan Sabah FC akan beraksi secara bertahan menggunakan sehingga lima pemain dengan sistem 5-3-2 atau 5-4-1.

Sistem 5-4-1

Sistem ini pernah dipraktikkan oleh Kim Swee ketika mengemudi skuad kebangsaan Bawah-23 negara di Sukan Asia pada 2018 di Palembang, Indonesia.

Dalam perlawanan tersebut, Malaysia bertahan dengan sistem 5-4-1 yang sangat ke bawah. Malaysia menyerap asakan Korea Selatan di blok rendah dan cuba melakukan serangan balas.

Dalam perlawanan tersebut, Malaysia menang 2-1 setelah mendapat manfaat daripada ‘blunder’ dilakukan penjaga gol Korea Selatan yang terlepas bola kepada Safawi untuk membolehkan Harimau Muda mendahului seawal minit ke-5. Untuk gol kedua, Safawi Rasid sangat tenang mengawal bola dan menewaskan pertahanan dengan fizikal beliau.

2. Tuntut displin tinggi secara berpasukan

Walaupun secara asas, taktikal yang disebut di atas sebenarnya adalah sistem bek bertiga yang membentuk lima pemain ketika transisi bertahan, sistem oleh Kim Swee ini menuntut fokus dan displin pemain yang tinggi untuk beraksi secara berpasukan.

Sekali lagi kami mengambil contoh perlawanan kendalian Kim Swee ketika menentang Korea Selatan. Di dalam artikel analisis kami sebelum ini, sering kami katakan konsep pasukan yang baik adalah keupayaan memecahkan zon padat ataupun zon 14.

9 pemain Malaysia sukarkan Korea Selatan

Berhadapan pasukan yang lebih superior, kecuaian akan membenarkan pasukan terus dibolosi di bahagian ini – yang sudah tentu mengundang padah. Ketika menentang Korea Selatan, Kim Swee mengarahkan 9 pemain di belakang bola.

Dengan melakukan perkara ini, mereka berjaya mendesak Korea Selatan ke sisi padang. Korea Selatan kurang bermain di ‘tight area’ sekaligus mengurangkan ancaman dan risiko serangan lawan.

Antara masalah Sabah FC pada musim ini ialah konsentrasi dan fokus pemain. Adakalanya pemain kelihatan beraksi berseorangan tanpa sebarang perancangan jelas yang menyebabkan kesilapan individu.

Masalah fokus oleh pemain di dalam padang boleh disebabkan banyak perkara termasuk isu kecergasan. Barisan pemain Sabah FC harus bersedia untuk menerima perubahan di bawah kedalian Datuk Ong kim Swee.

3. Bek sayap berkualiti tinggi

Menggunakan sistem 3-5-2 atau 3-4-3 sebagai asas pasukan, sistem permainan di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee memerlukan dua pemain bek sayap berkualiti tinggi.

Agak menarik untuk melihat Nazirul Naim di posisi bek kiri bersatu kembali dengan Kim Swee di Sabah setelah kedua-duanya pernah bersama-sama di dalam skuad Harimau Muda sebelum ini.

Posisi bek kanan pula buat masa ini dilihat akan menjadi milik Randy Baruh. Kim Swee turut memiliki beberapa pilihan lain untuk posisi bek sayap dengan menggunakan pemain sayap klasik seperti Hamran Peter, Alto Linus, atau Sadil Ramdani di posisi tersebut.

Masalah yang perlu dihadapi Kim Swee bagaimanapun ialah di posisi bek tengah. Rawilson Batuil dan Risto Mitrevski merupakan dua pemain utama di posisi tersebut.

Park Tae-Su yang cemerlang sebagai No.6 dalam beberapa perlawanan pada musim ini mungkin boleh melengkapkan sistem bek bertiga yang merupakan instrumen penting pengendali kelahiran Melaka ini.

4. Bakat muda tempatan

Sepanjang 14 tahun bersama FAM, Datuk Ong Kim Swee telah menggunakan hampir seluruh kepakarannya membangunkan bakat muda di dalam negara, khususnya untuk skuad kebangsaan.

Maka tidak hairanlah sekiranya perkara sama akan dilakukan di Sabah FC. Namun ia dilihat sebagai projek jangka masa panjang Kim Swee bersama Sabah FC.

Akademi Bung Mokhtar Radin Bakal Gilap Bakat Muda Dari Sabah

Seperti yang kita maklum, Akademi Bung Mokhtar Radin bakal dibangunkan khusus untuk mengembangkan bakat pemain remaja di Sabah.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Suhaimi Nasir sebelum ini berkata akademi tersebut mensasarkan untuk membangunkan bakat pemain-pemain muda terbaik dari umur 12 hingga 18 tahun dari seluruh negeri Sabah.

Ia pasti satu projek yang menarik di Sabah FC sekiranya menjadi kenyataan.

5. Pemain import berkualiti

Seperti mana pengendali kelab-kelab lain yang beraksi di saingan Liga Super, peluang bersaing di Piala Malaysia nanti pasti turut akan digunakan oleh Kim Swee untuk mengkaji kelemahan pasukan.

Kami percaya beberapa pemain baharu khususnya pemain import berkualiti akan dibawa masuk untuk memperkuatkan pasukan Sabah FC untuk saingan musim hadapan.

Antara keutamaan yang perlu dilihat oleh Kim Swee ialah seorang ball-playing centre back, seorang defensive midfielder, seorang pemain No.8 dan seorang penyerang. Ini adalah empat keutamaan yang perlu diberi perhatian berdasarkan prestasi Sabah pada musim ini.

Kami yakin Datuk Ong Kim Swee sendiri akan lebih jelas mengenai perkara ini selepas menyertai pasukan Sabah FC pada Oktober hadapan.

Sejak beberapa musim lalu, pasukan Sabah FC sering kali dikecewakan dengan pengambilan pemain import yang sekadar gah pada nama.

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN