Piala Malaysia: JDT Kini Selangkah Untuk Mara Ke Final

Johor Darul Ta’zim (JDT) kini boleh dikatakan hanya selangkah sahaja lagi untuk mara ke pentas akhir Piala Malaysia 2023, selepas pasukan tersebut berjaya mengatasi cabaran Perak menerusi keputusan penuh 4-1.

Beraksi di gelanggang pelawat, JDT tidak menghadapi begitu banyak masalah untuk mengatasi lawan dengan empat jaringan terhasil menerusi Oscar Arribas, Arif Aiman Hanapi, Shahrul Saad, serta Nazmi Faiz Mansor.

Sebaliknya Perak pula hanya memperoleh satu bekalan gol sahaja pada separuh masa kedua menerusi pemain import mereka iaitu Luciano Guaycochea.

Awal permainan menyaksikan JDT terlebih dahulu menyusun gerakan dari pelbagai arah dalam usaha mereka untuk cuba mendapatkn jaringan awal di gelanggang lawan.

Setakat awal lima minit permainan, Perak lebih banyak bertahan di kawasan sendiri untuk menyerap segala asakan dibuat oleh pasukan pelawat dengan sesekali hanya mampu mencipta serangan balas pantas.

JDT akhirnya membuka jaringan awal di gelanggang lawan pada minit ketujuh menerusi Oscar Arribas yang menanduk kencang ke arah gawang gol selepas menerima hantaran daripada Heberty Fernandes dari sebelah kanan.

Perak cuba bangkit untuk menyusun gerakan dengan sesekali berjaya mengkucar kacirkan pertahanan lawan menerusi beberapa situasi berbahaya dicetuskan dalam petak penalti pelawat.

Pasukan pelawat meneruskan rentak positif mereka untuk mendapatkan jaringan kedua perlawanan, dengan kali ini Arif Aiman pula hadir selaku peledak gol kedua buat JDT pada minit ke-12.

Situasi semasa jelas tidak memihak kepada Perak yang serba tidak menjadi di segenap posisi selain beberapa gerakan cuba dicipta mudah dipatahkan pasukan pelawat dalam usaha pasukan tersebut mendapatkan gol pertama mereka.

Perak hampir membuka jaringan sulung mereka pada minit ke-28 menerusi satu percubaan deras daripada Luka Milunovic yang dicetuskan oleh Sunday Afolabi sebelum ianya ditepis keluar Syihan Hazmi.

Situasi semakin tegang pada minit ke-44, selepas ada pergaduhan berlaku membabitkan para pemain kedua pasukan sebelum ditenangkan kembali oleh pengadil perlawanan yang bertugas.

Bersambung di separuh masa kedua, beberapa perubahan dibuat oleh Perak termasuk membawa keluar penyerang import mereka iaitu Luka Milunovic bagi digantikan kepada Farris Idziham.

Tuan rumah jelas tampil dengan lebih baik di separuh masa kedua, dengan beberapa gerakan dicipta mereka lebih tersusun serta tidak membiarkan pelawat menguasai bola dengan lebih lama.

Shahrul Saad terus menggembirakan kem JDT, selepas pertahanan kental itu cemerlang menyambut sepakan sudut daripada Takehiro Kunimoto untuk meletakkan pelawat 3-0 pada minit ke-71.

Pada minit ke-76, Perak akhirnya merapatkan jurang gol menerusi ledakan bintang tengah mereka iaitu Luciano Guaycochea yang cemerlang menyempurnakan umpanan daripada Wan Zack Haikal.

Tatkala Perak ingin mencipta kebangkitan, JDT sekali lagi cemerlang meledak gol keempat mereka menerusi jaringan daripada Nazmi Faiz Mansor yang menyempurnakan umpanan daripada Bergson da Silva.

Keputusan perlawanan kekal dengan kemenangan berpihak kepada JDT menerusi keputusan penuh 4-1 untuk mengatasi skuad kendalian Yusri Che Lah.

Kesebelasan Utama

Perak: Muhammad Farhan Abdul Majid (Penjaga gol), Sunday Kolawole Afolabi, Luciano Guaycochea (Kapten), Shivan Pillay Asokan, Wan Zack Haikal Wan Nor, Muhamad Afif Asyraf Mohamad Zabawi, Jesper Gunnar Fernando Nyholm, Muhammad Azalinullah Mohamed Alias, Luka Milunovic, Muhammad Aiman Khairul Yusni, Seo Seonung

Johor Darul Ta’zim (JDT): Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (Penjaga gol), Matthew Thomas Davies, Mohd Afiq Fazail, Jordi Amat Maas (Kapten), Nathaniel Shio Hong Wan, Bergson Gustavo Silveira da Silva, Muhamad Feroz Baharudin, Oscar Pasero Arribas, Heberty Fernandes de Andrade, Arif Aiman Mohd Hanapi, Fernando Martin Forestieri

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN