Kemarau 32 tahun KL City FC menjulang Piala Malaysia berakhir di tahun ke-100 kejohanan apabila berjaya menumbangkan pasukan pilihan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan keputusan 2-0 di pentas final, sebentar tadi.
Gol ke-13 daripada penampilan ke-142 Zhafri Yahya bersama KL City dan ledakan kapten, Paulo Josue sudah cukup buat mereka untuk merentap ego dan memusnahkan impian JDT menjulang kejuaraan Piala Malaysia.
KL City masih turun dengan kesebelasan yang sama yang telah diturunkan dalam beberapa perlawanan setakat ini berbanding JDT yang membuat sedikit perubahan dengan ketiadaan Gonzalo Cabrera yang mungkin telah mengalami kecederaan ringan dalam aksi separuh akhir kedua berdepan Terengganu pada Jumaat lalu.
JDT mempamer tekanan awal ke benteng KL City sebaik sahaja wisel permulaan ditiup pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali. Sepanjang saingan Piala Malaysia, hampir separuh jaringan JDT hadir dalam 15 minit pertama perlawanan iaitu lapan daripada 19 gol yang mereka berjaya hasilkan sepanjang perjalanan ke pentas final.
Minit ke-4, Giancarlo Gallifuoco berhasil menutup ruang yang dimiliki penyerang berbisa JDT, Bergson da Silva di kawasan penalti mereka sebelum lima minit kemudian, tiang menjadi penghalang buat Bergson untuk meledak jaringan pembukaan perlawanan menerusi rembatan deras kaki kanannya dari luar kotak penalti The City Boys.
KL City cuba bermain serangan balas pantas apabila JDT terlepas kawalan bola hasil taktikal kompak di zon defensive third mereka. Apabila bertahan, Bojan Hodak meletakkan barisan lima pertahanan dibantu tiga pemain tengah, Akram Mahinan, Ryan Lambert dan Zhafri Yahya yang berada di depan benteng tersebut.
Zhafri Yahya dilihat sangat aktif berada di atas ketika menyerang dan bertahan di bawah ketika diserang.
Minit ke-16, Zhafri Yahya hampir berjaya membuat tandukkan di dalam kotak penalti lawan, namun hantaran lintang oleh bek kanan, Kamal Azizi dari sebelah kanan berjaya dipintas terlebih dahulu oleh Mauricio.
Peluang terbaik Harimau Selatan hadir lagi di minit ke-37, namun penjaga gol lawan, Kevin Mendoza cemerlang menafikan dua tandukan oleh Mauricio dan Safawi Rasid, bermula menerusi sepakan percuma dan penjuru sebelum rembatas deras Bergson di minit ke-43 berjaya ditangkap kemas sekali lagi oleh Kevin Mendoza.
Babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan buntu mencatur asakan ke kubu lawan. JDT yang menagih gerakan lincah Arif Aiman juga tampak sudah mula hilang cengkaman dan memaksa Benjamin Mora membuat pertukaran pemain dengan memasukkan Corbin Ong untuk Kunanlan dan Nazmi Faiz untuk Safawi Rasid.
66' GOL | Zhafri Yahya menyudahkan hantaran J. Partiban untuk gol pembukaan malam ini!@KLCityFootball 1-0 @OfficialJohor #TMPialaMalaysia2021 pic.twitter.com/SxxJiTdroj
— Malaysian Football League (@MFL_MY) November 30, 2021
74' GOL | Kapten pasukan, Paulo Josue menggandakan kelebihan KL City FC!@KLCityFootball 2-0 @OfficialJohor #TMPialaMalaysia2021 pic.twitter.com/2zfoBc8zVp
— Malaysian Football League (@MFL_MY) November 30, 2021
Minit ke-66, serangan balas pantas KL City membuahkan hasil untuk jaringan pembukaan dan pendahuluan buat mereka. Zhafri Yahya yang cemerlang sepanjang perlawanan akhirnya berjaya meledak gol ketiganya dalam saingan Piala Malaysia selepas menerima hantaran lintang rendah oleh J. Partiban di sebelah kiri.
Tidak lama selepas itu, di minit ke-74, kapten The City Boys, Paulo Josue berhasil mencipta jaringan kedua, hasil ledakan kaki kirinya untuk menewaskan Farizal Marlias sekali lagi, bermula dengan gerakan dua pemain, Hadin Azman dan Ryan Lambert yang dihantar kepadanya yang berjaya melepasi kawalan pertahanan JDT.
Harimau Selatan cuba bangkit menerusi dua percubaan di minit ke-77 dan ke-85 daripada Nazmi Faiz dan Leandro Velazquez, namun masih gagal untuk menewaskan Kevin Mendoza yang masih utuh di gawangnya.
Perlawanan berakhir dengan KL City berhasil menewaskan JDT buat kali pertama musim ini dalam semua pertandingan serta berjaya menamatkan penantian 32 tahun untuk menjulang kejuaraan Piala Malaysia.