Benjamin Mora Kata Kalau Boleh JDT Nak ‘Makan’ Lauk Helang Kota

Benjamin Mora JDT final Piala Malaysia makan KL City

Nampaknya suasana semakin hangat menjelang sepak mula perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan KL City FC bila Benjamin Mora sudah tidak sabar untuk ‘makan’ lawannya.

Yang dimaksudkannya adalah mereka tentunya mahu menang ke atas The City Boys di pentas final seterusnya menjulang kejuaraan Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut selepas berhasil melakukannya pada 2019.

Ujarnya dalam nada tenang di sidang media, “Tentunya JDT adalah JDT [dari segi kontroversi]. Kami tidak hanya akan melihat sahaja, menanti lawan berbuat sesuatu dalam perlawanan ini. Kami akan cuba ‘makan’ rumputnya, ‘makan’ pihak lawan dan kami akan cuba untuk meledak gol. Ini sahaja cara untuk menang di pentas final.”

“Kami datang ke final untuk memenanginya,” tegasnya lagi tentang sasarannya untuk aksi terakhir JDT.

JDT mara ke final selepas melalui perjalanan sukar sejak peringkat suku akhir apabila berdepan Kedah Darul Aman FC dan kemudian Terengganu FC di separuh akhir. Apabila ditanya pihak media, adakah setiap lawannya sebelum ini memberikan cabaran dan pengalaman yang berbeza buat Harimau Selatan, inilah jawapannya.

“Banyak perbezaannya [cabaran sejak suku akhir]. Kedah dan Terengganu adalah pasukan ketiga, ke-4 terbaik di liga. KL City pula sedang meningkat sedikit demi sedikit. Pengendali mereka juga berlatar belakang berbeza.

“Seorang pengendali berasal dari Singapura [Aidil Sharin], seorang pengendali muda tempatan [Nafuzi Zain] dan seorang lagi jurulatih luar yang berpengalaman luas [Bojan Hodak]. Persamaannya mereka mempraktikkan pendekatan taktikal yang majoritinya hampir sama antara satu sama lain,” jelasnya lanjut tentang lawannya.

Menurutnya, ketiga-tiga pasukan menggunakan barisan benteng berempat dalam taktikal, sangat kompak dan sentiasa akan cuba memenangi ‘second ball’. Namun, keupayaan pemain memberikan sentuhan berbeza.

Ini merupakan pentas final ke-4 JDT sejak dijenamakan sebagai JDT pada 2013. Namun, mereka hanya berjaya menjulang kejuaraan kejohanan tertua di Asean ini sebanyak dua kali iaitu pada edisi 2017 dan 2019. Mereka tumbang sekali di pentas akhir iaitu pada edisi 2014, tewas 3-5 kepada Pahang menerusi sepakan penalti.

Untuk KL City, ini merupakan pentas final pertama mereka sejak dijenamakan sebagai KL City. Sebelum ini, dengan nama Kuala Lumpur, mereka pernah mara ke pentas final sebanyak empat kali dan menjuarainya tiga edisi berturut-turut iaitu pada edisi 1987, 1988 dan 1989. Adakah mereka akan berjaya selepas 32 tahun?

Perlawanan akhir antara JDT dan KL City akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada esok malam. Adakah Benjamin Mora akan berjaya dengan misi mahu ‘makan’ KL City nanti? Sama-sama kita nantikan.

Leave a Reply