Kedah Darul Aman perlu berterima kasih kepada tiga pemain tengahnya apabila jaringan mereka berjaya memberikan kemenangan 3-1 ke atas Kelantan United di saat penyerang, Kpah Sherman tampak bergelut.
Tiga pemain itu iaitu kapten, Baddrol Bakhtiar, Syazwan Zainon dan pemain gantian, Fayadh Zulkifli berjaya meledak gol buat pelawat, meraih kemenangan ke-4 mereka dalam aksi ke-5 Kumpulan C, Piala Malaysia 2021.
Walaupun sudah tersingkir daripada saingan Piala Malaysia, Kelantan United yang hanya mengumpul satu mata mempamerkan permulaan babak pertama dengan baik, malah mencipta asakan pertama di minit ke-2. Bek tengah dari Jepun, Shuhei Fukai hampir meledak gol pertama perlawanan namun, rembatannya tersasar.
Skuad Hijau Kuning bangkit mengasak menerusi tiga percubaan namun, gagal untuk menguji sepenuhnya penjaga gol tuan rumah, Fikri Che Soh. Percubaan terbaik Kedah hadir di minit ke-11 menerusi pemain sayap, Syazwan Zainon yang mensia-siakan peluang di depan gawang dengan membuat tandukkan meliar.
Pelawat sekali lagi melepaskan peluang membuka akaun jaringan apabila Fikri Che Soh dengan cemerlang menepis sepakan penalti yang diambil oleh penyerang sensasi mereka, Kpah Sherman di minit ke-16.
Mungkin tidak beraksi dua perlawanan disebabkan penarikan diri Negeri Sembilan FC, ketumpulan jentera serangan yang digerakkan Kpah Sherman, Syazwan Zainon dan Rabih Ataya jelas kelihatan. Dua kali percubaan Kpah Sherman meliar jauh daripada gawang tuan rumah sebelum gagal menyempurnakan sepakan penalti.
Benteng Kelantan United yang diterajui Shuhei Fukai dan Shahrul Hakim kerap kali diuji oleh jentera serangan lawan, namun mujur buat mereka apabila Kedah dilihat agak tumpul dalam menyempurnakan peluang. Malah ketangkasan Fikri Che Soh di gawang turut menyaksikan Kedah berterusan berjaya dikecewakannya.
Akhirnya penjaga gol tuan rumah itu berjaya juga ditewaskan Kedah apabila gerakan solo Syazwan Zainon di sebelah sayap kiri dengan memperdaya tiga pertahanan berjaya mencipta jaringan pembukaan di minit ke-34, sebelum dua minit kemudian giliran kapten, Baddrol Bakhtiar pula meledak gol dengan sentuhan mudah.
Benteng pelawat yang diterajui Renan Alves dan Rodney Calvin langsung tidak ditekan lawan, malah penjaga gol, Ilham Amirullah yang kali pertama diturunkan dalam kesebelasan utama dibiarkan berehat panjang.
34' & 36' GOL | Kedah Darul Aman kini mendahului 2-0 hasil jaringan Syazwan Zainon dan Baddrol Bakhtiar!
Kelantan United FC 0-2 @kda_fc #TMPialaMalaysia2021 pic.twitter.com/wCn5uVEKe2
— Malaysian Football League (@MFL_MY) November 6, 2021
Pengendali Kelantan United, Nazrulerwan Makmor membuat empat pertukaran drastik di permulaan babak kedua untuk memperkukuh pasukan dengan kemasukkan penyerang sensasi mereka di musim 2019, Fakhrul Zaman Zawawi dalam usaha untuk mengasak gawang pelawat yang tidak teruji sepanjang babak pertama.
Ia memberikan sedikit kesan apabila mereka berhasil mencipta peluang, namun dikecewakan dengan penyudah tumpul. Minit ke-52 dan ke-61, rembatan Fakhrul Zaman dan tandukkan Alfusainey Gassama tersasar.
Kpah Sherman terus bergelut untuk mempamerkan prestasi lebih baik apabila beliau acapkali gagal dalam usaha mereka menambah jaringan gol. Walaupun dilihat kian tenang, beliau masih gagal untuk mencipta gol. Sekali lagi beliau kecewa untuk meledak gol di minit ke-67 apabila gagal menyudahkan peluang terbuka.
73' GOL | Pasukan tuan rumah merapatkan jurang gol hasil sepakan percuma Fakhrul Zaman!
Kelantan United FC 1-2 @kda_fc #TMPialaMalaysia2021 pic.twitter.com/jy35RpZ4UZ
— Malaysian Football League (@MFL_MY) November 6, 2021
Ini membuka ruang buat Kelantan United untuk memburu jaringan dan hasilnya, Fakhrul Zaman mencetak jaringan pertama di minit ke-73 menerusi sepakan percuma yang telah menewaskan Ilham Amirullah.
Alfusainey Gassama hampir meledak jaringan penyamaan di minit ke-75, namun rembatannya sedikit tersasar.
85' GOL | Fayadh Zulkifli Amin menambah gol ketiga Kedah Darul Aman!
Kelantan United FC 1-3 @kda_fc #TMPialaMalaysia2021 pic.twitter.com/NUnIGuykuY
— Malaysian Football League (@MFL_MY) November 6, 2021
Skuad Kijang Hijau dilihat semakin garang dalam usaha mencatur dan memburu jaringan penyamaan. Ini membuatkan pengendali Kedah, Aidil Sharin memasukkan tenaga segar di jentera tengah iaitu Fadzrul Danel.
Kedah menambah jurang gol pada minit ke-85 apabila gandingan dua pemain gantian berhasil mencipta gol. Hantaran lintang Azamuddin Akil menemui Fayadh Zulkifli yang tenang untuk menewaskan Fikri Che Soh.
Kemenangan ini membantu Kedah meraih 12 mata, satu mata di belakang Melaka United yang juga telah mara ke suku akhir. Perebutan juara kumpulan antara kedua-duanya semakin rancak.