EPL: Burnley Buat Kejutan, Ikat Pendahulu Liga Di Stamford Bridge

Chelsea Burnley EPL

Rentak cemerlang Chelsea di pentas Liga Perdana Inggeris (EPL) sedikit tercalar selepas sekadar terikat 1-1 berdepan pasukan bawahan Burnley di gelanggang sendiri.

Turun sebagai pasukan pilihan, juara Eropah itu dilihat agak buntu untuk menterjemahkan peluang kepada jaringan memandangkan mereka masih tidak dapat menurunkan dua penyerang utamanya Romelu Lukaku dan Timo Werner.

Segalanya nampak lancar buat The Blues apabila mendahului pada minit ke-33 menerusi Kai Havertz yang menanduk masuk hantaran lintang Reece James menewaskan penjaga gol England, Nick Pope.

Akibat gagal mamanfaatkan deretan peluang yang terhidang, skuad kendalian Thomas Tuchel itu dikejutkan dengan gol penyamaan Burnley hasil dari gerakan berpasukan menarik yang disudahkan Matej Vydra pada minit ke-79.

Walaupun Chelsea mendakwa Jay Rodriguez yang mencipta jaringan berkenaan berada dalam kedudukan ofsaid, namun semakan VAR mengesahkan gol tersebut.

Tindakan Tuchel memasukkan Christian Pulisic dan Mason Mount pada 10 minit terakhir tidak cukup untuk menghasilkan gol kemenangan yang dicari sehinggalah tamat masa perlawanan.

Walaupun sekadar seri, kedudukan Chelsea selaku pendahulu Liga masih terjamin. Mereka kini tiga mata mengatasi pencabar terdekat Manchester City dan empat mata di hadapan Liverpool yang mempunyai satu perlawanan dalam tangan.

Satu mata yang dibawa pulang Burnley pula masih tidak cukup untuk membantu mereka keluar dari zon penyingkiran. Namun ia merupakan peningkatan positif skuad kendalian Sean Dyche itu yang meraih kemenangan pertama mereka pada minggu lalu menewaskan Brentford.

Leave a Reply