EPL: Dah Guna 5 Pertahanan Pun Man United Teruk ‘Dibuli’ Man City

Manchester United City EPL Derbi

Pep Guardiola terus meletakkan rakan sejawatnya Ole Gunnar Solskjaer dalam tekanan selepas membimbing Manchester City menewaskan seteru setempat Manchester United 2-0 di Old Trafford dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ole Gunnar Solskjaer mengekalkan formasi tiga pertahanan tengah untuk perlawanan genting ini menggunakan gandingan Harry Maguire, Victor Lindelof dan Eric Bailey.

Bagaimanapun taktikal itu terganggu dengan gol sendiri Bailey seawal minit ketujuh selepas hantaran lintang Joao Cancelo terbias pada kaki pemain pertahan Ivory Coast tersebut dan menerjah tepat ke dalam gol United.

United berpeluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-25 apabila percubaan voli Ronaldo dari hantaran lintang Luke Shaw tepat ke arah Ederson dan tindakan susulun Greenwood pula tersasar.

Tiga minit kemudian, David de Gea bertindak cemerlang menafikan percubaan jarak dekat Gabriel Jesus untuk menyelamatkan gawangnya bocor buat kali kedua dan turut berjaya menepis keluar percubaan Cancelo dari luar kotak penalti.

Namun pada penghujung babak pertama, kesilapan penjaga gol Sepanyol itu membiarkan hantaran Cancelo ke dalam kotak penalti kerana menyangka bola akan keluar membolehkan Bernardo Silva menggandakan kelebihan buat City menjelang waktu rehat separuh masa.

Menyedari perubahan perlu dilakukan, Solskjaer bertindak menukar taktikalnya dengan memasukkan Jadon Sancho pada awal babak kedua menggantikan Eric Bailey untuk kembali kepada formasi empat pertahanan.

Tetapi ia tidak dapat menghalang City dari terus menguasai perlawanan dengan corak pemainan hantaran pendek yang gagal disaingi pemain United.

10 minit sebelum tamat masa perlawanan, City hampir menjaringkan gol ketiganya apabila percubaan Phil Foden sekadar singgah pada tiang gol ketika De Gea sudah pun tertewas.

Kemenangan tersebut meletakkan City naik ke tangga kedua liga selepas mengumpul 23 mata dari 11 perlawanan sementara United pula kekal di tangga kelima dengan 17 mata.

Leave a Reply