Menurut laporan portal Berita Harian, penyerang Terengganu FC, Tchetche Kipre melaungkan keyakinan untuk terus meledak gol bagi membantu mengekalkan rentak kemenangan Sang Penyu selepas menjaringkan gol ketika menentang Kedah baru-baru ini.
Itu merupakan gol pembukaannya untuk saingan Piala Malaysia 2019 dimana dua gol telah dihasilkannya bagi menundukkan juara Piala FA musim ini dengan keputusan mengejut 2-0 di Darul Aman.
Lebih mengujakan adalah gol tersebut hadir di saat Terengganu dipaksa beraksi dengan 10 pemain apabila penjaga gol, Ilham Amirullah diperintah keluar padang oleh pengadil perlawanan selain menamatkan rentetan tanpa kalah Kedah di laman sendiri.
Kali terakhir Kedah tumbang di Darul Aman adalah pada Julai 2018.
“Saya begitu gembira selepas berjaya menjaringkan dua gol yang begitu bermakna buat pasukan di tempat lawan, lebih menggembirakan apabila jaringan itu adalah gol permulaan dalam saingan Piala Malaysia,” ujar penyerang berusia 31 tahun itu.
Terengganu telah beraksi dengan 10 pemain sepanjang aksi babak kedua dan Tchetche Kipre telah menjaringkan gol pada minit ke-66 dan ke-87 seterusnya menghadiahkan tiga mata buat mereka.
“Saya juga gembira dengan persembahan rakan sepasukan yang beraksi cemerlang dan berdisiplin walaupun terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain dalam tempoh yang lama.
“Bukan senang beraksi dengan kekurangan pemain lebih-lebih lagi beraksi di tempat mereka, tapi kita mampu bertahan dengan baik dan pintu gol kita juga tidak bolos sebelum melakar kemenangan,” ujar pemain import kelahiran Ivory Coast itu lagi.
Pada edisi lalu, Tchetche Kipre merupakan penjaring terbanyak Piala Malaysia dengan 9 gol dihasilkannya selain meledak 14 gol dalam saingan Liga Super 2018 – kedua terbanyak, lima gol di belakang penyerang import Selangor, Rufino Segovia.
Namun, musim ini agak sukar buat dirinya apabila hanya mampu meledak 6 gol dalam saingan liga, 2 gol di belakang seorang lagi pemain import Sang Penyu, Sanjar Shaakhmedov biarpun kelihatan seperti mula menemui sentuhan pada pertengahan saingan liga. Untuk saingan Piala FA, hanya dua gol dihasilkannya selepas hanya beraksi hingga ke suku akhir – tewas kepada semifinalis, Pahang.
Kredit Featured Image: Terengganu FC