Quantcast

BERITA

Presiden FAM Janji Akan Terus Perkasakan Kemudahan Di AMD

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mahu kerjasama erat antara Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memperkasa Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Bercakap di Buletin Utama TV3, Hamidin menjelaskan kejayaan skuad B-15 negara menjuarai Kejohanan AFF B-15 2019 baru-baru ini adalah hasil bersama keempat-empat entiti tersebut bersama FAM dan menegaskan akan membantu melengkapkan AMD di Gambang, Pahang bagi terus menghasilkan produk negara.

“Saya kira kebanyakkan pemain yang ada di Akademi Mokhtar Dahari, Gambang ini perlu kita gilap lagi dan sudah tentu harapan kita bersama MSN, KPM dan KBS untuk kita lengkapkan lagi kelengkapan di AMD supaya menjadi satu tempat latihan yang moden untuk pemain-pemain kita dilahirkan di sana,” ujarnya.

AMD pernah menjadi topik perbualan hangat ketika Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat tinjauan mengejut terhadap fasiliti AMD di Gambang yang mendedahkan kelompongan yang berlaku di sana pada penghujung tahun lalu.

Antaranya seperti kemudahan latihan, kemudahan gym, peralatan latihan yang tidak mancukupi, pemakanan pemain tidak dijaga dan sebagainya sehingga menjejaskan prestasi keseluruhan pemain.

View this post on Instagram

Pada bulan Oktober yang lepas, saya buat lawatan mengejut ke Akademi Mokhtar Dahari selepas menerima banyak aduan dari Ibu bapa berkenaan masalah kerosakan/defects & kebajikan. Dalam lawatan mengejut ini, kami dapati terdapat lebih 700 defects walaupun pembinaan AMD dibuat dengan kos RM80juta~ dan baru disiapkan April lepas. Kontrak diberikan melalui rundingan terus, bukan open tender. I promised the players and the parents that we will resolve this immediately. Saya menghubungi JKR, MSN, ISN dan Kontraktor terbabit untuk ambil tindakan segera. Yesterday, i made another surprise visit. Alhamdulillah, dari 873 defects yang dikenali, 852 telah pun dibaiki. The boys are happy, so are the parents. A lot more must be done. Saya nak pastikan AMD dapat melahirkan many more Mokhtar Daharis in the future!

A post shared by Syed Saddiq (@syedsaddiq) on

Pada Februari lalu, hasil lawatan mengejut kedua yang dijalankan, Syed Saddiq gembira apabila mendapati 97 peratus kecacatan binaan di AMD telah berjaya diselesaikan iaitu daripada 873 yang telah dikenal pasti, 852 kecacatan tersebut telah pun diperbaiki.

Dengan bantuan daripada FAM dan empat entiti tersebut, AMD kemungkinan bakal dilengkapi dengan kemudahan latihan yang lengkap bagi terus melahirkan produk-produk lebih berkualiti.

Mengulas mengenai kejayaan anak didik P. Maniam, Hamidin mengharapkan kejayaan ini bakal memberikan semangat kepada keseluruhan peringkat umur skuad negara untuk memberikan yang terbaik dalam kejohanan-kejohanan yang disertai selepas ini.

“Untuk menang dengan Thailand di tempat mereka sendiri adalah satu pencapaian yang bagus serta saya berpendapat komitmen dan permainan pemain-pemain muda ini agak tinggi.

“Saya kira permata muda kita ini perlu terus digilap dan perlu kita kekalkan. Kita harap pasukan Malaysia akan berjaya untuk semua kejohanan-kejohanan peringkat umur, kerana ini adalah masa depan bola sepak negara untuk 10 tahun akan datang,” ujarnya.

Kredit Featured Image: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)