PKNP FC dalam misi memburu dua gol tanpa bolos dalam aksi timbal balik menentang Kedah di Stadium Darul Aman, malam nanti. Dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2019 tempohari, Kedah meraih kemenangan tipis 2-1.
Bercakap kepada Berita Harian, ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim mengharapkan penyerang importnya, Giancarlo dapat menyumbang sesuatu selepas dikekang dengan baik oleh benteng Helang Merah dalam perlawanan yang lalu di Manjung.
“Jika dia dapat lepaskan diri daripada kekangan itu saya rasa kita berupaya memberikan sesuatu di Darul Aman,” ujarnya mengenai harapannya kepada penyerang tinggi lampai kelahiran Brazil itu.
Giancarlo adalah penyerang yang berbahaya jika dibiarkan dan ini turut diakui Aidil Sharin ketika ditanyakan mengenai pemain itu oleh Semuanya BOLA sebelum aksi pertama tempohari.
Penyerang berusia 29 tahun yang dipinjam daripada PJ City FC itu telah meledak empat gol dalam kempen Piala Malaysia setakat ini. Gandingan ampuhnya bersama Yashir Pinto dan pemain muda, Mukhairi Ajmal dilihat kembali memberikan nyawa buat PKNP FC.
Dalam saingan Liga Super sebelum ini, The Juggernaut sangat bergelut di jentera serangan dengan hanya 22 gol dihasilkan sepanjang 22 perlawanan dan mereka tewas 12 perlawanan seterusnya tersingkir ke Liga Premier untuk musim depan.
Selain itu, kemasukkan beberapa pemain muda seperti penjaga gol Shafiq Afifi, pemain tengah Mukhairi Ajmal dan pertahanan, Aidil Azuan telah menambah kekuatan buat PKNP FC dalam kempen Piala Malaysia kali ini sehingga berjaya melangkah ke suku akhir.
“Pastinya permainan akan sangat menarik dan kita sedari senario di sana bukan mudah, namun kita perlu mencari 2-0 dan kita akan cuba memberikan yang terbaik,” jelasnya mengenai misi di Darul Aman malam nanti sambil menekankan kepentingan gol awal.
“Yang paling penting pemain dapat fokus sepanjang 90 minit dan mempertahankan benteng kerana pastinya ancaman serangan Kedah akan lebih bahaya. Kita perlu mencari peluang dahulu mendapatkan gol,” tambah Abu Bakar Fadzim lagi.
Kedah berjaya membawa pulang kemenangan 2-1 hasil jaringan Fernando Rodriguez dan David Rowley dalam perlawanan sebelum ini selepas Yashir Pinto meledak gol pembukaan terlebih dahulu.
Kredit Featured Image: Kedah FA