Quantcast

LIGA MALAYSIA

Selangor Hanya Tunggu Persetujuan PKNS FC Untuk Jadi ‘Feeder Club’

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) hanya menunggu lampu hijau daripada PKNS FC sebelum penggabungan antara Selangor dan PKNS FC menjadi kenyataan dan Semut Merah akan menjadi ‘feeder club’ kepada Gergasi Merah pada musim hadapan.

Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon yang dipetik berkata menerusi Sinar Harian, perkara tersebut telah dipersetujui oleh 47 ahli gabungan yang hadir pada mesyuarat Kongres Luar Biasa FAS yang berlangsung di Shah Alam, malam tadi.

Menurutnya lagi, PKNS FC juga perlu melakukan perkara yang sama dan mempersetujui cadangan ini sebelum usul ini akan dipanjangkan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk pertimbangan. Sekiranya ia menjadi kenyataan, PKNS FC akan diturunkan pangkat ke Liga Premier bermula musim depan.

Dan ini juga bermakna, PKNS FC tidak lagi akan beraksi di Piala FA dan Piala Malaysia musim depan setelah kembali mewarnai kancah tertinggi Liga Malaysia – beraksi di Liga Premier musim 2004.

Untuk rekod, PKNS FC pernah menjulang kejuaraan Liga Premier pada musim 2011 dan meraih naib juara pada musim 2016 selain melangkah ke final Piala FA 2016. Untuk Piala Malaysia, mereka hanya pernah melangkah sejauh suku akhir pada edisi lalu.

Sebelum ini, PKNS FC telah diberitakan tidak bersetuju dengan cadangan penggabungan ini kerana Semut Merah mempunyai sejarah dan legasi yang lama di Liga Malaysia, malah ketua jurulatihnya, Datuk K. Rajagobal turut sependapat di mana beliau pernah berkhidmat dan bermain untuk mereka selama 22 tahun.

Selain itu, lagenda seperti Datuk Mokhtar Dahari, Datuk Santokh Singh, R Arumugam, Datuk Soh Chin Aun, Reduan Abdullah, Rashid Hassan juga pernah bermain bersama PKNS FC satu masa dahulu.

“Ini adalah salah satu proses yang perlu dilalui dan secara dasarnya di peringkat FAS kami bersetuju untuk menerima PKNS FC sebagai ‘reserved team’ atau ‘feeder club’ pasukan Selangor.

“Jadi di peringkat PKNS FC pula perkara sama juga perlu dilakukan sebelum kami memanjangkan permohonan ini kepada pengendali Liga Bola Sepak Malaysia (MFL),” ujar Dr. Johan Kamal.

Menurutnya lagi, masih ada lagi beberapa proses yang perlu dilakukan oleh kedua-dua pihak sebelum penggabungan itu dapat direalisasikan menjelang sepak mula Liga Malaysia 2020.

Kredit Featured Image: PKNS FC