Quantcast

LIGA MALAYSIA

Piala Malaysia 2019: Mentaliti Dahagakan Kemenangan Jadi Pendorong JDT

Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora menjelaskan dalam sidang media yang mentaliti mahukan kemenangan menjadi pendorong kuat kepada pasukannya untuk meraih kemenangan besar seterusnya melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia 2019.

JDT menang 4-1 ke atas Terengganu FC dalam suku akhir kedua di Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos dengan semua jaringan terhasil di babak pertama. Harimau Selatan menyingkirkan Sang Penyu dan layak ke separuh akhir dengan agregat 5-1.

Gonzalo Cabrera terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-16 menerusi sepakan penalti sebelum Safawi Rasid menyudahkan umpanan menarik Diogo untuk gol kedua tuan rumah pada minit ke-22. Safawi Rasid sekali lagi berjaya meledak gol pada minit ke-36 dan tiga minit kemudian, Gonzalo Cabrera menambah jurang gol sebelum Lee Tuck menjaring gol saguhati buat Terengganu FC.

Segala-galanya seakan-akan berakhir apabila JDT telah mencetak empat gol di depan dan menguasai sepenuhnya permainan. Babak kedua juga menyaksikan tuan rumah terus mengasak sebelum menurunkan tempo perlawanan menuju 20 minit terakhir.

“Saya rasa kemenangan [jadi pendorong]. JDT selalu dahagakan kemenangan dan jika kita tidak [sikap] mahukan kemenangan, kita tidak akan boleh bermain seperti malam ini,” jelas pengendali kelahiran Mexico itu sambil turut mengatakan semangat mahu ‘membalas dendam’ juga salah satu pendorong kuat pasukan.

“Saya rasa, pada pertembungan edisi lalu dengan Terengganu, sangat mengecewakan buat kami. Dan jika saya dapat katakan, yang kami sememangnya mahu membalas dendam.

“Terengganu adalah pasukan yang sukar dan saya telah beritahu kepada pemain yang di Kuala Terengganu kita menang 1-0, jadi perlawanan ini masih terbuka. Kami tahu jika kami tidak pamerkan sesuatu yang sama seperti di tempat mereka, ia akan jadi lebih sukar,” jelas Benjamin Mora mengenai perancangannya.

‘Saya tekankan kepada pemain yang saya mahukan jaringan pantas dan JDT memiliki pemain-pemain yang berkualiti. Mereka tahu apa yang perlu mereka lakukan dan mereka mahu beri kemenangan kepada pasukan. Saya rasa segalanya tentang kemenangan dan mereka sentiasa terdorong [untuk menang],” tambahnya lagi.

JDT berjaya mengulangi pencapaian edisi lalu apabila melangkah ke separuh akhir dan kini hanya perlu menanti pemenang antara Selangor dan Perak dalam satu lagi aksi suku akhir, malam nanti.

Kredit Featured Image: Johor Southern Tigers (JST)