Piala Malaysia 2019: Nicholas Swirad Teruja Berdepan Kedah, Gemar Aksi ‘Awaydays’

Nicholas Swirad

Pertahanan kacukan Malaysia-England, Nicholas Swirad yang beraksi untuk PKNS FC berkata kepada Semuanya BOLA mungkin beberapa faktor telah mengganggu prestasi pasukan seperti khabar angin mengenai status pasukan dan kecederaan pemain.

Dalam saingan Liga Super 2019, mereka gagal meraih kemenangan dalam tujuh perlawanan berturut-turut, tewas lima daripadanya. Kali terakhir PKNS FC merekodkan kemenangan adalah pada Mei 2019 ketika menang 3-0 ke atas PJ City FC dalam Liga Super.

Untuk aksi di tempat lawan, Semut Merah gagal merekodkan kemenangan dalam 8 perlawanan berturut-turut dengan kali terakhir melakukannya di saingan Shopee Piala FA 2019 menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-0 pada 17 April.

Badi awaydays berakhir di Paroi

Badi awaydays ini akhirnya ditamatkan apabila mereka berjaya menumbangkan Negeri Sembilan 2-1 di Paroi hasil dua gol Gabriel Guerra dalam perlawanan kedua Piala Malaysia, baru-baru ini.

“Pendapat saya, akhir-akhir ini segalanya sukar buat semua yang berada dalam pasukan. Saya rasa ada beberapa faktor yang mempengaruhi perkara tersebut (prestasi hambar) termasuk khabar angin mengenai status pasukan untuk musim depan.

“Tetapi sebagai pemain, kita harus mengelak perkara sebegini mempengaruhi prestasi permainan kita dan beraksi sehabis baik setiap minggu,” ujar pemain berusia 28 tahun itu lagi.

PKNS FC dikhabarkan bakal diletakkan sebagai pasukan kedua untuk pasukan Selangor sebagaimana konsep yang telah dibuat oleh JDT (JDT I dan JDT II) dan Terengganu FC (TFC I dan TFC II).

Berdepan Kedah di gelanggang keramat lawan, Stadium Darul Aman, pastinya menghadirkan suasana dan tentangan sengit daripada tuan rumah. Bukan mudah untuk menang di sana sehingga Terengganu FC berjaya melakukannya tempohari.

Gemar aksi di tempat lawan

Bagi Nicholas Swirad, dia sangat gemarkan aksi di tempat lawan. Namun, segalanya berubah apabila dia dirundung masalah kecederaan yang memaksanya berehat untuk satu tempoh masa yang lama sebelum kembali beraksi untuk beberapa perlawanan.

“Secara peribadi, saya sukakan perlawanan di tempat lawan. Pada awal musim lalu ketika saya masih cergas, kita tidak kalah di tempat lawan malah turut menang ketika menentang Selangor. Kita juga memiliki rekod baik di Shah Alam,” ujarnya.

Untuk rekod, sebelum Semut Merah kehilangan Nicholas Swirad akibat kecederaan pada penghujung Mac, rekod mereka masih baik dengan tiga kemenangan, dua seri dan satu tewas.

Kedudukan pasukan juga ketika itu berada di posisi ke-4 dan selepas Mac, nasib PKNS FC berubah, kedudukan merundum sehingga ke posisi ke-9 Liga Super selain hanya merekodkan kemenangan dalam dua aksi – Kuala Lumpur dan PJ City FC.

Pemain kelahiran Manchester United ini tercedera ketika latihan pusat skuad kebangsaan menjelang saingan Piala AIRMARINE 2019 pada Mac lalu seterusnya memaksanya berehat panjang. Kini, walaupun sudah pulih, beliau terpaksa bersaing untuk posisinya.

Beberapa bulan yang mengecewakan

“Kita sentiasa perlu bersaing untuk merebut posisi kita! Tetapi ketika menentang Negeri Sembilan, memang saya mengalami kecederaan dan pertahanan ketika itu telah beraksi dengan baik dan memberikan kami kemenangan. Sudah tentu mereka akan kekal dalam perancangan jurulatih,” jelasnya lagi.

“Dan dengan prestasi pasukan ketika ini, semua orang tidak boleh fikir mereka akan berada dalam kesebelasan utama setiap masa. Dengan kecederaan yang saya alami, saya tidak boleh mengambil mudah setiap peluang yang diberikan jurulatih,” tambahnya lagi.

Jika diberikan peluang untuk menentang Kedah malam ini, sudah tentu Nicholas Swirad akan memberikan yang terbaik bagi membantu pasukan untuk mara ke suku akhir Piala Malaysia.

“Ia adalah beberapa bulan yang sangat mengecewakan dan harapnya ia telah berlalu (kecederaan berulang),” ujarnya lagi.

PKNS FC berpeluang untuk memintas kedudukan Kedah dalam Kumpulan A jika menang dalam perlawanan pusingan kedua ini dengan ketika ini kedua-dua pasukan terikat dengan empat mata.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN