Quantcast

BERITA

Khairul Amri Mahu Lihat Penampilan Semula Lions XII Dalam Liga Malaysia

Penyerang import Felda United dari Singapura, Khairul Amri Mohamad Kamal mendedahkan dia memiliki impian sebelum menamatkan karier sebagai pemain bola sepak profesional.

Jelasnya, dia berhajat untuk melihat lebih ramai pemain-pemain kelahiran Singapura mewarnai Liga Malaysia (Liga M) yang dianggapnya sebagai salah satu liga terbaik di Asia Tenggara.

Katanya lagi, dia optimis pemain-pemain Singapura turut memiliki kualiti hampir setanding dengan barisan pemain import yang lain selain boleh memancing peminat dari negara jiran itu untuk menyaksikan Liga Malaysia.

“Apa hasrat saya sebelum bersara dari dunia bola sepak? Saya berhajat untuk menyaksikan kembali penampilan Lions XII di Liga Malaysia atau lebih ramai pemain-pemain Singapura datang menyertai Liga Malaysia.

“Banyak memori manis saya dalam kancah Liga Malaysia dan antara salah satunya adalah jaringan gol saya ketika menentang Terengganu dalam aksi separuh akhir Piala FA 2015 sebelum Lions XII dinobatkan sebagai juara tahun itu dengan menewaskan Kelantan 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Secara peribadi saya yakin bahawa pemain-pemain Singapura sebenarnya mampu bersaing dengan pemain-pemain import yang lain di mana mereka turut mampu memberikan prestasi yang memberangsangkan.

“Selain itu, ia juga satu keuntungan buat pasukan Liga Malaysia menambat pemain Singapura kerana secara tidak langsung mereka juga dapat mengumpul peminat di sana dalam proses mengembangkan kelompok penyokong,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Khairul Amri menegaskan Felda United akan berjuang habis-habisan dalam usaha layak ke kelompok lapan pasukan terbaik Piala Malaysia 2019.

Felda United menduduki tangga tercorot Kumpulan D selepas ketinggalan lima mata dengan pendahulu, Melaka disusuli Selangor (4 mata) dan PDRM (2 mata).

Biarpun usaha Felda United untuk mencari tiket ke suku akhir Piala Malaysia tampak sukar, Khairul Amri percaya mereka sepasukan tidak akan sesekali mudah menyerah kalah.

“Perjuangan Felda United sukar tetapi peluang itu masih ada. Apa yang pasti kami tidak boleh tercicir mata jika mahu melepasi peringkat kumpulan kali ini.

“Sudah pasti kami akan berusaha habis-habisan untuk mendapatkan kedudukan lebih baik dan berusaha mendapatkan slot suku akhir Piala Malaysia 2019,” katanya yang sudah meledak empat gol sepanjang kempen Piala Malaysia setakat ini.

Kredit foto: Felda United FC