Kedah akan kehilangan khidmat dua pemain import menjelang aksi terakhir Kumpulan A menentang Negeri Sembilan di Stadium Darul Aman pada malam ini iaitu Edgar Bernhardt dan Renan Alves.
Kedua-dua pemain ini menurut pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak yang ditemui Berita Harian, masing-masing akan menjalani penggantungan perlawanan dan mengalami kecederaan.
Disebalik semangat membara Negeri Sembilan untuk membenam Kedah bagi membalas dendam kekalahan 1-3 di Paroi pada aksi pertama, Kedah pula menerima perkhabaran kurang enak ini.
“Renan (Alves) menerima kad kuning ketiga pada perlawanan menentang Terengganu, Jumaat lalu dan tidak dapat beraksi satu perlawanan manakala Edgar (Bernhardt) pula mengalami kecederaan kaki dan kini dalam proses pemulihan.
“Di sebalik kekurangan ini, pemain harus bangkit dengan lebih bersemangat dan berkeyakinan sebagai satu pasukan untuk memastikan perancangan memburu kemenangan di laman sendiri berjalan lancar,” ujar pengendali kelahiran Singapura itu.
Ini bukanlah kali pertama Renan Alves melalui penggantungan kerana menjelang perlawanan akhir Piala FA yang lalu, pertahanan kental itu juga telah digantung perlawanan dan Helang Merah terpaksa memikirkan solusi untuk menampung kehilangannya.
Berdepan Perak yang serba lengkap, Aidil Sharin telah membuat percaturan berani dengan memasukkan pemain tengah, Amirul Hisyam Awang Kechik sebagai pertahanan tengah bergandingan bersama Shakir Hamzah – Kedah tidak bolos seterusnya menjuarai Piala FA 2019 dengan keputusan 1-0 selepas masa tambahan.
Disamping itu, pengendali berusia 42 tahun itu turut akan tampil berhati-hati dengan skuad Jang kerana tampaknya mereka boleh membuat kejutan sebagaimana kemenangan ke atas Terengganu FC dan PKNS FC sebelum aksi menentang Kedah.
“Walaupun memiliki keyakinan selepas meraih kemenangan ketiga dalam kumpulan, kami tetap akan waspada dan berhati-hati untuk berdepan Negeri Sembilan yang bangkit dua kali berturut-turut melakar kemenangan (3-2) ke atas Terengganu FC dan (3-1) PKNS FC,” ujarnya mengenai amaran yang telah diberikan lawannya itu.
Kedah sudah berjaya melangkah ke suku akhir selepas menang 3-2 ke atas Terengganu FC minggu lalu dan perlawanan terakhir ini bakal menentukan kedudukan mereka samaada menjuarai kumpulan atau sekadar berpuas hati layak sebagai naib juara.
Kredit Featured Image: Kedah FA