Quantcast

LIGA MALAYSIA

Piala Malaysia 2019: Ini Perlawanan Penuh Emosi Dan Psikologi, Kata Tchetche Kipre

Secara tiba-tiba, Terengganu FC yang terpaksa bergelut sehingga ke perlawanan terakhir biarpun kelebihan lebih besar buat mereka ketika ini untuk melepasi ke suku akhir Piala Malaysia 2019.

Ini kerana, Negeri Sembilan perlu menang dengan defisit yang besar serta mengharapkan Terengganu FC gagal meraih mata dalam aksi menentang PKNS FC di Stadium Shah Alam.

Terengganu FC merekodkan tiga kemenangan berturut-turut pada permulaannya dan hanya memerlukan satu kemenangan untuk mengesahkan tiket ke suku akhir – sebaliknya berlaku apabila akhirnya Kedah yang terlebih dahulu melayakkan diri.

Ianya berlaku apabila mereka tunduk 2-3 kepada Negeri Sembilan pada perlawanan ke-4, yang kini merupakan pencabar kepada satu tiket untuk ke peringkat suku akhir, sebelum tumbang pula kepada Kedah dengan keputusan yang sama pada minggu lalu.

Berdepan dengan pasukan yang sudah tersingkir, PKNS FC, juga bukanlah satu tugas mudah dan menurut Tchetche Kipre, bertemu pasukan sebegini tidak menjanjikan kemenangan yang mudah.

“Rekod perlawanan sebelum ini menyaksikan TFC sering mengatasi PKNS FC, tapi ia bukan pengukur bagi menentukan kemenangan menjelang pertemuan penting itu,” ujarnya kepada Berita Harian.

“Lagipun ia tidak mudah bertemu dengan pasukan yang sudah terkeluar daripada persaingan ke suku akhir kerana mereka tidak mempunyai sebarang tekanan, sebaliknya hanya pelengkap jadual permainan, menang atau kalah, kedudukan skuad itu tidak berubah,” tambah penyerang berusia 31 tahun itu lagi.

Oleh itu, tekanan sudah dijangka oleh penjaring terbanyak Piala Malaysia edisi lalu itu dan mengharapkan rakan-rakannya akan bersedia dari segi mental terutamanya apabila beraksi di tempat lawan pada perlawanan terakhir Kumpulan A itu malam ini.

“Pertemuan itu bakal menjadi perlawanan psikologi berbanding fizikal yang menuntut semua pemain supaya lebih bersedia daripada segi mental,” ujar Tchetche Kipre.

“Kita juga tahu, bola sepak bukan seperti matematik, satu tambah satu mesti dua, bola sepak adalah sesuatu yang sukar dijangka. Oleh itu kita perlu fokus hingga ke minit akhir, terus bergerak untuk mendapat yang terbaik,” jelasnya lagi.

Kedah dan Terengganu FC pastinya mahukan kemenangan bagi menjuarai saingan peringkat kumpulan ini untuk mengelakkan pertembungan lebih awal menentang juara enam kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di peringkat suku akhir.

Kredit Featured Image: Terengganu FC