Quantcast

BERITA

Manchester United Ikat David De Gea Sehingga 2023

David de Gea telah menandatangani kontrak untuk kekal bersama Manchester United sehingga 2023 – dengan pilihan tambahan setahun.

Penjaga gol berusia 28 tahun itu menyertai United dari Atletico Madrid pada 2011, dan telah membantu kelab tersebut menjuarai Liga Perdana Inggeris, Piala FA, Piala Liga dan juga Liga Europa (UEL) sejak tiba di Old Trafford.

De Gea difahamkan akan menerima gaji diantara £350,000 – £375,000 seminggu – menjadikan beliau sebagai penjaga gol dengan pendapatan tertinggi di dunia.

“Ia adalah satu kebanggan untuk beraksi selama lapan tahun untuk kelab hebat ini, dan ia adalah satu penghormatan untuk terus diberikan peluang untuk melanjutkan karier saya di Manchester United,” ujar De Gea.

“Ketika kali pertama tiba di sini, saya tidak pernah membayangkan akan beraksi lebih dari 350 perlawanan untuk kelab ini. Kini masa depan saya sudah terjawab.

“Saya hanya mahu membantu pasukan untuk mengejar impian yang saya percaya, iaitu untuk kembali memenangi trofi bersama-sama.

“Saya komited untuk membalas kepercayaan penyokong yang sentiasa berada di belakang pada masa yang baik dan buruk.

Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer turut tidak menyembunyikan kegembiraan beliau dengan keputusan De Gea untuk kekal di kelab tersebut.

“Saya gembira kerana David [De Gea] komited dengan masa depan beliau bersama kelab ini.

“David adalah individu yang hebat, dan mempunyai kualiti tertinggi untuk melengkapkan bahagian pertahanan. Sepanjang berada di sini, beliau memahami nilai dan makna bermain untuk Manchester United.

“Kini beliau memiliki segala perkara yang anda mahu dari seorang penjaga gol.

“Sebagai pemain beliau juga amat bersungguh dan dahaga untuk terus berjaya. Kami akan bekerjasama untuk mencapai kejayaan bersama-sama pada tahun-tahun mendatang.”