Biarpun meraih 3 mata berharga di halaman sendiri, ketua jurulatih dan kapten Johor Darul Ta’zim (JDT) jelas kurang berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan mereka pada malam tadi selepas membenam wakil daripada Liga Premier, UiTM FC 3-1.
Dalam perlawanan pertama Kumpulan B, Piala Malaysia 2019, JDT yang beraksi di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos berjaya menewaskan UiTM FC hasil dua jaringan Diogo Luis Santo dan penalti yang disempurnakan oleh pemain sensasi, Safawi Rasid.
“Saya rasa, kami tidak beraksi baik dalam perlawanan ini seperti yang sepatutnya. Kami menguasai perlawanan tetapi kami tidak menggunakannya dengan sebaiknya,” ujar Harris Harun yang ditemui sejurus perlawanan untuk post match reaction Iflix.
“Namun kami berjaya menjaringkan beberapa gol dan mendapat tiga mata, itu yang lebih penting. Tetapi kami perlu tingkatkan dari pelbagai aspek untuk bersaing dalam kejohanan ini,” jelasnya lagi.
“Kami perlu menerusi prestasi kemenangan dalam Piala Malaysia kerana apa-apa boleh berlaku dalam perlawanan-perlawanan seterusnya”
Ini merupakan reaksi ketua pasukan @OfficialJohor, Harris Harun selepas perlawanan #JDTUiTM di Larkin.#PialaMalaysia2019#MFLLive pic.twitter.com/HCuRfOrp3B
— MFL LIVE (@MFL_Live) August 2, 2019
Diogo Luis meledak gol pembukaan seawal minit ke-16 menerusi tandukkan sebelum Safawi Rasid menggandakan gol pada minit ke-65 hasil sepakan penalti yang berjaya disempurnakannya.
JDT gagal menyempurnakan banyak peluang untuk menang besar ke atas UiTM FC menerusi beberapa percubaan Safawi Rasid dan Diogo Luis sebelum gol penalti oleh Safawi Rasid tersebut.
“Kejohanan ini singkat jadi kami perlu kembali kepada prestasi terbaik,” ujar Harris Harun yang juga merupakan kapten JDT.
“Saya kurang berpuas hati dengan prestasi malam ini. Banyak pembetulan yang perlu kami buat berkaitan aksi kami. Saya rasa perlu banyak penambahbaikan perlu dibuat,” ujar ketua jurulatih, Benjamin Mora pula ketika sesi post match reaction.
Gol ketiga JDT adalah menerusi tandukan Diogo Luis sebelum UiTM berjaya juga memperolehi gol saguhati menerusi sepakan percuma jarak jauh penyerang, Zarco Korac di penghujung aksi.
Satu lagi aksi Kumpulan B antara PJ City FC dan PKNP FC akan dilangsungkan pada malam ini di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.