Quantcast

LIGA MALAYSIA

Piala Malaysia 2019: Nafuzi Zain Akui Bukan Mudah Untuk Merantai Kpah Sherman

Terengganu FC membuka tirai saingan Kumpulan A, Piala Malaysia 2019 malam tadi di halaman sendiri dengan noktah kemenangan apabila berjaya menewaskan PKNS FC dengan keputusan 3-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Debut yang baik oleh pengendali sementara, Nafuzi Zain biarpun berdepan dengan pasukan yang dikendalikan oleh salah seorang pengendali terbaik di dalam negara, Datuk K. Rajagobal.

“Kita tahu bermain dengan PKNS adalah sukar dengan kualiti penyerangnya. Bukan senang hendak merantai pemain yang berfizikal (besar) dengan saiz pemain yang tidak seberapa besar,” ujarnya yang ditemui ketika post-match reaction di iflix.

Apa yang dimaksudkan olehnya adalah penyerang berbahaya PKNS FC yang juga merupakan penjaring terbanyak Liga Super 2019 dengan 14 gol keseluruhan saingan, Kpah Sherman.

Biarpun gagal meledak gol semalam, Kpah Sherman membantu Jafri Firdaus Chew untuk meledak gol penyamaan PKNS FC pada minit ke-30 selepas hampir 4 pemain mengawalnya sebelum bola dilepaskan kepada Jafri Firdaus Chew di sebelah kiri gawang.

Mungkin itu sahaja saat terbaik yang dimiliki PKNS FC sebelum Terengganu hadir dengan asakan demi asakan untuk memburu kemenangan dalam perlawanan pertama Piala Malaysia.

“Saya memuji pemain-pemain saya yang bermain baik pada malam ini. Jadi, ini adalah permulaan yang baik buat kita di Piala Malaysia,” tambahnya lagi sambil mengucapkan rasa syukur apabila segala rancangan berjaya dilaksanakan oleh pemainnya.

Pemain import, Sanjar Shaakhmedov muncul wira buat Sang Penyu apabila berjaya menjaringkan dua gol pada minit ke-6 dan di penghujung perlawanan selain jaringan Nasrullah Haniff pada minit ke-38 untuk memberikan 3 mata penuh buat tuan rumah.

Selepas ini, Terengganu FC akan berdepan cabaran sukar apabila akan berkunjung ke Darul Aman untuk bertemu juara Piala FA 2019, Kedah. Satu lagi saingan Kumpulan A antara Negeri Sembilan dan Kedah akan berlangsung pada malam ini di Paroi.