Quantcast

BERITA

Legenda Chelsea Kembali Ke Stamford Bridge Untuk ‘Makelele Role’

Sebutkan ‘Makelele role’, anda pasti teringat akan kelibat Claude Makelele dengan peranan baru inovasi Jose Mourinho diantara tahun 2003-2008 bersama Chelsea. Kini bekas pemain antarabangsa Perancis itu kembali diberikan peranan bersama kelab London itu.

Bekas pemain tengah Chelsea itu kembali ke Stamford Bridge, kali ini sebagai jurulatih pasukan akademi kelab Liga Perdana Inggeris tersebut.

Makelele memenangi dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan satu Piala FA sepanjang tempoh lima tahun bersama Chelsea, mula menceburkan diri ke dalam bidang kejurulatihan setelah bersara sebagai pemain pada 2011.

“Saya sangat gembira dapat kembali. Kelab ini memberikan saya banyak perkara [dalam karier], dan kini saya mahu kembali menyumbang dengan membantu pemain muda di Chelsea mencapai karier impian masing-masing dalam bola sepak,” ujar Makelele melalui satu kenyataan.

“Saya mahu menggunakan semua pengalaman saya untuk membantu mereka menjadi pemain profesional dalam semua aspek dan sudah tidak sabar untuk bermula.”

Makelele yang kini berusia 46 tahun juga mempunyai karier yang membanggakan ketika bersama Real Madrid – menjuarai dua kejuaraan La Liga dan satu kejuaraan UEFA Champions League – kini dipertanggungjawabkan untuk memantau perkembangan bakat di akademi milik Chelsea.

Musim ini bahagian akademi adalah unit paling penting untuk juara UEFA Europa League musim lalu ini, setelah kelab tersebut tidak dibenarkan melakukan urusniaga pemain untuk dua jendela perpindahan oleh FIFA.

Makelele bukan satu-satunya bekas pemain yang dibawa masuk untuk membantu membangunkan kembali Chelsea.

Frank Lampard telah dilantik sebagai pengurus, manakala bekas penjaga gol Petr Cech pula dilantik selaku penasihat teknikal. Carlo Cudicini yang membantu Antonio Conte dan Maurizio Sarri sebagai pembantu jurulatih sebelum ini pula diberikan peranan baharu untuk menjadi jurulatih teknikal untuk pemain-pemain yang dipinjamkan keluar.