Jaringan tunggal yang dicipta Brendan Gan di Stadium Perak, Ipoh telah menghadiahkan kelebihan tipis buat Perak selepas mencatatkan kemenangan 1-0 bertemu Selangor pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2019, sebentar tadi.
Beraksi di laman sendiri, Perak mempamerkan corak permainan lebih kemas berbanding skuad gergasi merah terutamanya pada separuh masa pertama.
Brendan Gan jelas menjadi tumpuan pada perlawanan ini dengan sumbangan berkesan dijelmakannya. Pemain berusia 31 tahun itu kelihatan cukup bijak menghidu peluang bagi melepaskan beberapa rembatan ke kubu lawan serta berperanan dengan baik di jentera tengah pasukan Perak.
Brendan yang terlepas peluang terbaik pada minit ke-10 berjaya menebus kehampaan tersebut dengan meletakkan Perak di hadapan berselang tiga minit kemudian.
Jaringan tersebut terhasil berpunca daripada rembatan dari luar kawasan penalti dilepaskan Brendan yang gagal dihalang penjaga gol, Mohd Khairulazhan Mohd Khalid.
Meskipun mempamerkan aksi kurang bertenaga pada babak pertama, Selangor masih mampu memberikan ancaman buat jentera pertahanan Perak menerusi percubaan akrobatik daripada Syahmi Safari pada minit ke-28.
Bagaimanapun, penjaga gol, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy tidak berdepan masalah untuk menangkap kemas percubaan tersebut.
Kemasukan K. Sarkunan yang menggantikan Abdul Latiff Suhaimi pada permulaan babak kedua dilihat berupaya mengimbangi penguasaan permainan yang ditampilkan Perak.
Namun, ia tidak melunturkan semangat Perak untuk terus menambah jaringan dan hampir melebarkan kedudukan pada minit ke-53 menerusi Brendan Gan. Tandukan padu pemain kebangsaan itu susulan sepakan sudut bagaimanapun berjaya ditepis keluar Khairulazhan.
Peledak berbisa Selangor, Ifedayo Olusegun juga terlepas peluang terbaik di minit ke-61 apabila hantaran ‘cutback’ yang cukup baik daripada Syazwan Zainon memberikan peluang buatnya untuk melakukan percubaan. Tetapi Hafizul Hakim lebih bersedia menafikan percubaan penyerang kelahiran Nigeria itu.
Khairulazhan yang lebih ‘sibuk’ berbanding Hafizul Hakim pada perlawanan malam ini terus cemerlang apabila menafikan percubaan jarak dekat diledakkan Ronaldo Henrique Silva.
Kedudukan 1-0 itu kekal hingga tamat permainan bagi memberikan kelebihan satu gol buat skuad bimbingan Mehmed Durakovic itu menjelang aksi suku akhir kedua di Stadium Shah Alam, Ahad depan.
Kredit foto: Malaysian Football League