Piala Malaysia 2018: Sabah Waspada Terhadap Ancaman Selangor

Malam ini Sabah mempunyai peluang yang cerah untuk menempah tiket ke suku akhir Piala Malaysia jika mereka menewaskan Selangor di Stadium Shah Alam.

Walaupun gergasi merah ketika ini mengalami kemerosotan prestasi apabila mencatat tiga kekalahan berturut-turut dalam aksi kumpulan D tetapi pengendali Sabah, Julius Ating memberi amaran kepada anak buahnya agar tidak memandang mudah pada pasukan lawan.

“Mereka mungkin mengalami tiga kekalahan berturut-turut namun seperti yang kita sedia maklum, Selangor adalah sebuah pasukan disegani, lebih-lebih ketika mereka beraksi di Shah Alam.

“Saya harap pemain tidak leka dan fokus sepenuhnya untuk memenangi perlawanan itu, saya yakin jika mereka menunjukkan semangat juang seperti perlawanan lalu, kami mampu melakukannya (menewaskan Selangor),” katanya kepada Stadium Astro.

Gol kemenangan Sabah oleh Ricco Nigel Milus ketika menentang Selangor minggu lalu. FOTO: Sabah FA

Sabah ketika ini mengumpulkan 7 mata selepas mencatat 2 kemenangan dan 1 seri. Cabaran Selangor dalam perebutan tiket ke suku akhir akan berakhir jika mereka tewas kepada Sang Badak.

“Sekiranya kami menang esok, kami hanya memerlukan satu mata pada aksi seterusnya untuk mara ke suku akhir jadi saya harap pemain mengambil peluang ini sebaik mungkin.

“Saya tidak mahu kami terpaksa menunggu pada aksi terakhir untuk mengetahui sama ada layak atau tidak (ke suku akhir) kerana ianya mungkin membawa padah,” katanya.

Dalam pada itu, Jelius akan mengekalkan kesebelasan utamanya sebelum ini kecuali Randy Baruh yang akan masuk menggantikan Leopold Alfonso Otong.

Leave a Reply