Vietnam Terus Cipta Sejarah Mara Ke Separuh Akhir Sukan Asia 2018

Skuad bolasepak bawah 23 tahun Vietnam meneruskan rentak cemerlang apabila mencipta sejarah baharu bola sepak negara itu dengan melangkah ke peringkat separuh akhir Sukan Asia 2018 selepas menewaskan Syria 1-0.

Mereka adalah pasukan kedua dari Asia Tenggara yang berjaya mara ke peringkat itu setelah Thailand melakukannya pada tahun 2014 di Korea Selatan.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Patriot tersebut, kedua-dua pasukan mencipta pelbagai peluang tetapi barisan serangan mereka masih buntu mencari gol kemenangan sehingga berakhir dengan keputusan 0-0 selepas 90 minit perlawanan.

Perlawanan diheret ke masa tambahan, nasib jelas memihak kepada Vietnam apabila Nguyen Anh Duc berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke 108 yang membawa kepada pertemuan menentang juara bertahan, Korea Selatan di separuh akhir.

Syria berpeluang menyamakan kedudukan tetapi barisan pertahanan Vietnam bermain lebih berdisiplin dan tersusun yang memberi kesukaran penyerang lawan untuk memecahkan kebuntuan.

Pertemuan menentang Korea Selatan esok dianggap sebagai ujian sebenar skuad kendalian Park Hang Seo itu kerana mereka bakal berdepan dengan penyerang terbanyak kejohanan, Hwang Ui Jo yang kini sudah menjaringkan 8 gol.

(Photo by Maddie Meyer – FIFA/FIFA via Getty Images)

Bagi Vietnam, mereka sudah memiliki asas yang kukuh di dalam bentuk deretan bakat muda hasil pembangunan akar umbi yang bersistematik.

Siapa tahu? Selepas mengegarkan kejohanan AFC B-23 di China bulan lalu, Vietnam akan tampil memberikan impak di Piala Asia UAE pada tahun 2019.

Langit bola sepak itu cerah di Vietnam. Rakyat Vietnam sudah boleh mengangankan mimpi indah itu.

Leave a Reply