Teka-teki bagi mengetahui lokasi perlawanan akhir Piala FA 2022 terus berpanjangan apabila Malaysia Football League (MFL) menangguhkan pengumumannya.
Pengumuman yang sepatutnya diumumkan pada hari ini terpaksa dibawa ke satu waktu yang tidak dapat dipastikan bila.
Menurut sumber Semuanya BOLA, penangguhan pengumuman oleh MFL disebabkan faktor mereka masih lagi perlu ,menyelesaikan beberapa perkara sebelum pengumuman rasmi dibuat.
Walaupun terdapat penangguhan, tetapi MFL akan memaklumkan perkara ini sepantasnya sebaik sahaja ianya mendapat lampu hijau.
Isu tak sepatutnya berlaku
Isu mengenai lokasi perlawanan akhir ini sepatutnya tidak berlaku jika mengambil kira faktor negara kita yang ada stadium nasional.
Namun begitu, isu ini berlaku selepas Stadium Nasional Bukit Jalil tidak dapat digunakan kerana faktor kerja penyelenggaran dan ianya sekali gus menafikan peluang untuk acara bola sepak diadakan di sana.
Tambahan pula, stadium pilihan selepas Bukit Jalil iaitu Stadium Shah Alam juga tidak dapat menganjurkan perlawanan ini atas faktor keselamatan dan usangnya stadium itu.
Jadi ini menimbulkan persoalan, stadium mana layak diberikan hak sebagai penganjur?
Jika menilai pada kualiti, Stadium Sultan Ibrahim sememangnya sesuai namun ianya adalah gelanggang rasmi Johor Darul Ta’zim (JDT) dan sebagai salah satu finalis, tidak begitu sesuai untuk MFL memilih stadium itu.
Begitu juga dengan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, ianya juga sesuai tetapi terpaksa disisihkan atas faktor Terengganu beraksi di perlawanan akhir.
Stadium-stadium lain yang boleh dipertimbang adalah Stadium Perak, Stadium Darul Makmur atau Stadium Hang Jebat di Melaka.
Malah, Stadium Negeri Pulau Pinang di Batu Kawan juga boleh dijadikan wildcard kerana gelanggang ini pernah menjadi tuan rumah untuk aksi akhir Piala FA antara Kedah dan Perlis pada 2007.
Namun, stadium itu sudah lama tidak digunakan dan mungkin juga tak akan dipertimbang oleh pihak MFL dalam senarai mereka.