Piala AFC: Kedah Tersungkur Dengan 9 ‘Pahlawan’ Makassar

Kedah Darul Aman (KDA) gagal untuk melakar kebangkitan dalam saingan Piala AFC 2022 peringkat zon Asia Tenggara di Stadium Captain I Wayan Dipta, Bali apabila mereka mencatat kekalahan di tangan PSM Makassar dengan keputusan 1-2.

Jaringan tunggal pada minit akhir menerusi Fayadh Zulkifli gagal untuk membantu KDA melakar kebangkitan biarpun lawan tampil dengan 10 orang pemain sahaja kerana layangan kad merah.

Seawal perlawanan menyaksikan PSM Makassar lebih mendominasi perlawanan serta berpeluang untuk mencetak jaringan, namun rembatan yang dilepaskan oleh Everton sekadar terkena palang gol pada minit ke-3.

Selepas 10 minit perlawanan berlangsung, KDA jelas menghadapi kesukaran untuk cepat menyesuaikan diri, apabila mereka kerap kehilangan bola serta bermasalah untuk menyerap asakan lawan dengan lebih baik.

Ifwat Akmal boleh dikatakan menjadi penyelamat KDA setakat ini apabila beliau sudah beberapa kali mengecewakan pasukan lawan menerusi aksi penjaga gol tersebut yang sangat cemerlang.

PSM Makassar berjaya membuka jaringan pertama mereka pada minit ke-31 menerusi Yakob Sayuri setelah menerima umpanan cantik dalam petak penalti dari sebelah kanan KDA.

KDA jelas bermasalah di sebelah kanan apabila Amirul Hisyam dan Azammuddin Akil gagal untuk membentuk persefahaman lebih baik ketika menerima tekanan daripada pasukan lawan.

Menuju ke penghujung separuh masa pertama, PSM Makassar dilihat memperlahankan sedikit rentak permainan dengan lebih banyak membuat hantaran sesama sendiri untuk mengumpan pemain KDA keluar dari kawasan mereka.

KDA membuat beberapa perubahan di separuh masa kedua dengan salah seorang pemain muda mereka iaitu Kamil Akmal dibawa masuk untuk memperkukuhkan barisan pertahanan.

PSM Makassar terus menambah duka buat KDA apabila mereka berjaya mendapatkan jaringan kedua menerusi Yuran Fernandes pada minit ke-54 hasil sepakan sudut yang gagal dikawal oleh pertahanan lawan.

Pada minit ke-60, PSM Makassar terpaksa bermain dengan 10 orang pemain setelah tonggak mereka iaitu Yuran Fernandes dilayangkan kad merah dan memberi peluang buat KDA pula melancarkan serangan.

10 minit terakhir perlawanan menyaksikan KDA lebih mendominasi permainan menerusi beberapa siri serangan dilancarkan untuk mencari gol pertama mereka, namun kekebalan kubu pertahanan lawan sentiasa menyukarkan pasukan kendalian Aidil Sharin itu.

KDA akhirnya berjaya memperoleh gol pertama mereka yang dicari-cari pada minit ke-85 menerusi Fayadh Zulkifli apabila pemain lincah tersebut melepaskan rembatan deras dari dalam petak penalti untuk menewaskan penjaga gol PSM Makassar.

Keputusan perlawanan kekal sehingga wisel penamat dibunyikan dengan KDA tumpas di tangan PSM Makassar dengan keputusan 1-2 dalam aksi separuh akhir peringkat zon Asia Tenggar Piala AFC.

Kesebelasan utama

PSM Makassar: M. Reza Arya (Penjaga gol), Yuran Fernandes, Agung Mannan, Yance Sayuri, Akbar Tanjung, M. Arfan, M. Rizky Eka, Wiljan Pluim (Kapten pasukan), Kenzo Nambu, Yakob Sayuri, Everton

Kedah Darul Aman (KDA): Ifwat Akmal (Penjaga gol) (Kapten pasukan), Rodney Celvin, Akmal Zahir, Amirul Hisyam, Ariff Farhan, Fadzrul Danel, Mahmoud Al-Mardi, Sanrawat Detchmitr, Azammuddin Akil, Aiman Afif, Ronald Ngah Wanja

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN