Piala FA: 5 Perkara Dari Kejayaan Leicester City Tewaskan Chelsea

Perlawanan akhir Piala FA Inggeris edisi ke-140 menyaksikan Leicester City menewaskan Chelsea untuk mendakap trofi itu buat kali pertama dalam sejarah 130 tahun kelab itu.

Berikut adalah lima perkara yang boleh kita nilai dari aksi perlawanan akhir bersejarah buat Leicester itu.

Permulaan perlahan

Ramai termasuk pundit dari BBC, Alan Shearer meramalkan perlawanan ini akan tampil dengan peluang yang amat terhad untuk menjaringkan gol untuk kedua-dua pasukan. Namun tidak ramai diantara kita menjangkakan babak pertama perlawanan akan berakhir tanpa sebarang jaringan. Ketika babak pertama hampir berakhir, tiada percubaan tepat dihasilkan oleh kedua-dua pasukan.

Namun demikian Chelsea sepatutnya menghukum Leicester melalui Timo Werner, jika pemain antarabangsa Jerman ini boleh beraksi lebih baik dan agresif sepertimana yang ditampilkan beliau di Bundesliga pada musim lalu.

“Chelsea berjaya menghadirkan satu atau dua peluang berbahaya,” ujar Shearer ketika analisis selepas babak pertama perlawanan berakhir. “Mereka perlu membenarkan Mason Mount lebih banyak bola tetapi saya berpendapat banyak pertukaran akan dilakukan pada babak kedua.

Perlawanan akhir musim ini menjadi yang pertama yang berakhir 0-0 selepas babak pertama perlawanan berakhir. Kali terakhir pasukan terikat tanpa jaringan di perlawanan akhir selepas 45 minit pertama ialah pada musim 2015/16. Manchester United memerlukan masa tambahan 30 minit untuk menewaskan Crystal Palace dalam perlawanan tersebut.

Tielemans rancakkan perlawanan

Tanpa percubaan tepat dan sudah tentu tanpa jaringan pada 45 minit pertama, perlawanan akhir ini memerlukan sesuatu untuk menghidupkan suasana perlawanan akhir sebenar. Youri Tielemans akhirnya berjaya melakukannya selepas sejam perlawanan berlangsung. Walaupun sebelum meletakkan The Foxes di hadapan, Tielemans dilihat sebagai pemain paling menyerlah di atas padang.

“Youri Tielemans adalah pemain terbaik di atas padang. Beliau amat tenang setiap kali mengawal bola,” ujar Jermaine Jenas dalam ulasannya.

Ketenangan itu akhirnya dihadiahkan dengan peluang untuk menjaringkan gol spektakular dari jarak jauh menewaskan Kepa. “Jaringan yang menarik daripada seorang pemain yang hebat,” tambah Jenas.

Tielemans bukan sahaja menjadi pemain ketiga dari Belgium yang mencetak nama sebagai penjaring di perlawanan Piala FA selepas Eden Hazard (2018) dan Kevin de Bruyne (2019), tetapi juga adalah penjaring gol pertama untuk Leicester di peringkat ini selepas Ken Keyworth yang menjaringkan gol menentang Manchester United pada 1963. Bezanya, perlawanan akhir ini berakhir dengan kemenangan untuk Leicester.

Kekang ancaman Vardy

Anda tidak perlu menjadi seorang pakar taktikal untuk mengetahui ancaman terbesar dari Leicester City. Prestasi dan sentuhan penyudah Kelechi Iheanacho agak merudum sejak akhir-akhir ini walaupun berjaya menyumbang 15 gol dari 19 penampilan di semua pertandingan sebelum ini.

Ini bermakna ancaman Leicester tetap hadir dari Jamie Vardy. Kemampuan penyerang veteran ini sememangnya diketahui ramai. Gerakannya amat bahaya jika dibiarkan, terutama kebolehan bersaing satu lawan satu berhadapan pemain pertahanan terakhir lawan.

Thomas Tuchel jelas enggan mengambil risiko dengan ancaman pemain No.9 Leicester ini. Ini menjelaskan keputusan beliau memasukkan Reece James di sebelah kanan tiga pemain pertahanan. Posisi tersebut bukan kebiasaan bagi James, tetapi bukan posisi baru buat pemain England ini.

Walaupun tewas, Tuchel berjaya melunturkan ancaman Vardy menggunakan James. Prestasi pemain muda itu juga wajar dipuji kerana tidak tertekan sehingga melakukan kesilapan sepanjang ditugaskan mengawal Vardy.

Kasper cemerlang

Apabila The Blues ketinggalan, sudah tentu kita menjangkakan respon dan serangan bertali arus dar Chelsea. Kredit harus diberikan kepada anak buah Brendan Rodgers. Mana-mana pasukan yang tidak bersedia dari segi mental pasti akan dibocori, tetapi bukan Leicester City terutama dengan adanya Kasper Schmeichel.

Pertama beliau berjaya menafikan Ben Chilwell ketika perlawanan berbaki 13 minit, sebelum menyelamatkan percubaan Mason Mount. Schemeichel boleh dianggap sebagai pemain yang sentiasa tampil cemerlang dan boleh diharapkan dalam perlawanan-perlawanan penting. Gary Lineker juga memuji peranan beliau sebagai kapten Leicester dalam perlawanan ini.

Brendan ikut jejak langkah SAF

Apabila English Football of Fame diperkenalkan pada 2002, antara pengurus bola sepak terawal yang diberikan penghargaan ialah Sir Alex Ferguson. Ia tidak menghairankan mengambil kira pencapaian beliau sejak menyertai Manchester United sedekad sebelum itu. Hari ini Ferguson masih kekal sebagai pengurus yang berjaya meraih kejuaraan liga di England dan juga Scotland.

Pengurus Leicester, Brendan Rodgers turut pernah memenangi Piala FA Scotland bersama Celtic sebanyak dua kali (2017 & 2018). Temasuk perlawanan akhir ini, Rodgers kini menjadi pengurus pertama yang pernah menjuarai Piala FA Inggeris dan Scotland. Untuk rekod, Ferguson pernah meraih empat Piala FA ketika bersama Aberdeen, dan lima Piala FA Inggeris bersama Man Utd.

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN