Malam ini aksi separuh akhir Piala FA 2022 akan bermula membabitkan pertemuan antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Penang yang bakal berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Pertemuan kedua pasukan ini boleh dianggap agak unik dengan jurang kekuatan semasa yang agak ketara jika dilihat dari segi prestasi, pemain, dan corak permainan.
Pasukan mana bakal ke final #PialaFA2022? @OfficialJohor atau @Penang_FC & @FCTerengganu atau @selangorfc? 👀
Saksikan perlawanan separuh akhir esok & Sabtu menerusi platform @unifi. unifi TV boleh, YouTube unifi pun boleh, janji layan nanti. #AksiSetiapDetik #KamiTeamMalaysia pic.twitter.com/O6bDDTmSo1
— Team Malaysia (@TeamMsia) August 4, 2022
Suatu kejutan sebenarnya buat Penang kerana berdasarkan prestasi semasa mereka yang tidak begitu baik di saingan Liga Super 2022, pasukan ini berjaya tampil selaku antara empat kelab terbaik di saingan Piala FA musim ini.
Untuk JDT, mereka menepati ramalan ramai pemerhati bola sepak tempatan dan ini menjadi kesempatan untuk mereka kembali merebut kejuaraan tersebut setelah agak sekian lama kelab itu gagal mendapatkannya.
Pada aksi yang bakal berlangsung malam ini, ada empat pemain yang bakal diberi tumpuan untuk menjadi kunci kekuatan pasukan masing-masing.
Bergson da Silva (JDT)
Penyerang import dari Brazil ini sememangnya cukup diakui ketajaman beliau di hadapan gol buat JDT sejak musim lalu dan ketika ini Bergson masih lagi konsisten sebagai antara pilihan utama untuk mencetak jaringan.
Kelebihan Bergson terletak pada ketajaman beliau dalam menghasilkan jaringan serta sentiasa berada dalam kedudukan tepat untuk menerima umpanan rakan sepasukan.
Dalam dua perlawanan terakhir sebelum ini dihadapi Bergson, penyerang ini sudah pun meledak tiga gol dan konsistensi tersebut mungkin dibawa pada malam ini.
Fernando Forestieri (JDT)
Jika Bergson menjadi mesin gol buat JDT, maka kehadiran Forestieri pula cukup digeruni lawan menerusi aksinya yang cukup licik untuk memperdayakan pertahanan lawan.
Bekas penyerang Udinese tersebut menjadi pemain baharu ditandatangani JDT musim ini, dan kelibat Forestieri nyata cepat mendapat tempat di hati para penyokong menerusi stail permainan beliau ketika diturunkan.
Kelebihan Forestieri terletak pada skil kawalan bola yang sangat berkualiti selain kelicikan beliau dalam membuat hantaran serta mampu untuk melepaskan rembatan deras jarak jauh.
Lucas Espindola (Penang)
Penyerang baharu Penang ini dilihat cepat menyesuaikan diri bersama pasukan menerusi impak positif dibawa beliau dalam bahaguan serangan Penang.
Setelah ketiadaan Cassagrande, Penang berjaya mendapatkan pengganti beliau yang dilihat amat bagus dengan siri serangan lebih berkesan pada pertengahan musim ini.
Lucas setakat ini sudah pun meledak tiga gol daripada dua perlawanan terakhir dihadapi Penang sebelum ini dan kelibat penyerang ini pastinya ditagih untuk terus membantu kelab.
Rafael Vitor (Penang)
Pertahanan import Penang ini mungkin boleh mengecewakan JDT menerusi kekuatan beliau di posisi pertahanan atau ketika Penang mendapat peluang sepakan percuma.
Rafael antara pertahanan yang mempunyai kualiti untuk menambah kuantiti di bahagian serangan menerusi ketajaman beliau menerusi tandukan.
Kelebihan beliau terletak pada bacaan bola yang tepat, cepat menutup ruang, serta berkebolehan meledak gol untuk membantu serangan Penang.