PSSI Harap Dua Tonggak Indonesia Kekal Beraksi Di Eropah

Mochamad Iriawan selaku Presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) berharap agar dua pemain tonggak kebangsaan mereka iaitu Egy Maulana Vikri serta Witan Sulaeman agar meneruskan karier bola sepak profesional di Eropah.

Iriawan juga mengakui beliau akan menghubungi kedua pemain yang berkelana di Eropah ini untuk membincangkan hala tuju mereka.

Sebelum itu, kontrak Witan Sulaeman telah ditamatkan lebih awal oleh bekas kelab diwakilinya ketika itu, Lechia Gdansk atas persetujuan bersama.

Witan nyata turut menerima nasib yang sama seperti dua rakan senegaranya iaitu Bagus Kahfi dan Egy Maulana apabila kontrak mereka juga turut ditamatkan lebih awal di Eropah.

Menurut Iriawan, beliau jelas khuatir dengan nasib yang menimpa ketiga-tiga pemain ini mengenai masa depan mereka di Eropah setelah tarikh tutup perpindahan juga semakin dekat.

“Setakat ini saya masih belum tahu kemana destinasi mereka. Pihak kami masih lagi menghubungi mereka untuk mengetahui lebih lanjut.

“Tetapi dalam masa terdekat, saya akan hubungi mereka dan harapan saya agar ketiga pemain ini masih lagi mendapat peluang di Eropah,” jelas Iriawan menerusi Bola.com.

Tambah beliau, semakin ramai pemain Indonesia berkelana di Eropah, maka kualiti pasukan kebangsaan juga dapat ditingkatkan untuk terus memberi daya saing dalam mana-mana kejohanan disertai.

“Kami di sini berharap agar lebih ramai pemain Indonesia menyertai saingan liga di Eropah lebih bagus. Untuk itu saya harap ketiga pemain ini terus kekal di Eropah untuk mengutip seberapa banyak pengalaman berharga,” tegas Iriawan.

Untuk rekod semasa, ketika ini sudah tidak ada mana-mana pemain Indonesia yang aktif beraksi di Eropah selepas tiga pemain tersebut ditamatkan kontrak lebih awal.

Hanya tiga lagi sahaja pemain yang masih berkelana di luar negara selain Eropah iaitu Asnawi Mangkualam di Korea Selatan, Pratama Arhan di Jepun, serta Saddil Ramdani yang berkhidmat bersama Sabah di Malaysia.

Dalam masa sama, Iriawan juga menyatakan Shin Tae-yong selaku pengendali utama Indonesia akan kembali memulakan tugas pada pertengahan Ogos ini.

Pengendali dari Korea Selatan itu bakal membuat persiapan yang lebih rapi untuk memperkuatkan Indonesia dalam beberapa kejohanan akan datang setelah kembali dari tempoh cuti yang agak panjang.

“Shin Tae-yong akan kembali tiba di Indonesia pada pertengahan bulan ini untuk tugasannya.

“Beliau akan terus mengendalikan program latihan yang telah pun sedia ada untuk skuad kebangsaan bawah 19 (B-19) bagi misi ke Piala Dunia B-20 pada tahun hadapan,” ujar Iriawan.

Sumber:
Bola.com

Leave a Reply