Khidmat Jurulatih Tempatan Jadi Pilihan Majoriti Pasukan Liga Super

Liga Super

Sedar tak sedar, sebenarnya saingan Liga Super musim ini menyaksikan kelibat lapan pasukan yang menyandarkan kepercayaan kepada jurulatih tempatan.

Biarpun Penang, Sri Pahang dan Melaka menggunakan khidmat pengendali import pada awal musim, ketiga-tiga pasukan itu kini menggunakan tenaga jurulatih tempatan.

Jika diteliti kepada tiga pasukan teratas liga, Johor Darul Ta’zim (JDT), Sabah dan Negeri Sembilan, hanya juara bertahan Liga Super itu yang menggunakan kelibat jurulatih import.

Sabah mempetaruhkan bekas pengendali kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee selaku pengendali, manakala skuad Jang meletakkan kepercayaan kepada anak jati Negeri Sembilan, K Devan yang kembali selepas tujuh tahun melatih pasukan lain.

Kedua-dua jurulatih itu tampak cermelang dengan Sabah kini ditangga kedua liga manakala Negeri Sembilan yang baru kembali ke Liga Super musim ini cepat menyesuaikan diri dengan saingan kelompok elit untuk menghuni tangga ketiga.

Bagi Kim Swee, kehadiran ramai jurulatih tempatan dalam saingan musim ini adalah satu perkembangan positif buat bola sepak negara.

“Bagi saya ia perkembangan yang baik, jurulatih tempatan wajar diberi peluang mengendalikan pasukan di peringkat Liga Super dan tiada sebab mereka harus dipinggirkan.

“Sebenarnya tiada jaminan sesebuah pasukan itu akan berjaya jika mengambil jurulatih import kerana, mereka memerlukan masa untuk memahami budaya negara ini terlebih dulu,” kata Kim Swee yang juga Timbalan Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM).

Tambah Kim Swee, kelebihan jurulatih tempatan adalah mereka sudah sinonim dengan segala situasi dalam pengurusan bola sepak tempatan dan tahu mencari kaedah persiapan terbaik demi kejayaan pasukan meskipun terpaksa melalui pelbagai rintangan.

Kim Swee juga berharap ramai lagi jurulatih muda mampu meraih peluang seperti jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain yang kini memasuki musim ketiga bersama skuad Penyu.

“Sebenarnya ia bukan soal bagi kepercayaan kepada jurulatih seperti saya, tetapi lebih kepada memberi peluang buat pengendali muda seperti Nafuzi yang kian matang mengharungi cabaran selaku seorang jurulatih pada usia yang muda,” kata Kim Swee.

Pengendali kelahiran Melaka ini juga berharap, para jurulatih muda yang kini sudah memiliki lesen A AFC untuk segera mengambil kursus Lesen Profesional AFC bagi membolehkan mereka layak mengendalikan pasukan Liga Super.

Sebelum ini terdapat segelintir jurulatih tempatan yang enggan mengambil Lesen Kejurulatihan Professional AFC kerana kosnya yang tinggi iaitu sekitar RM60,000.

Kim Swee berharap soal harga itu tidak dijadikan isu tidak menaikkan kelayakan kejurulatihan sendiri kerana beliau juga membayar segalanya sendiri sebelum ini.

“Apabila saya menceburi bidang kejurulatihan, segala kursus kejurulatihan yang saya sertai, saya bayar sendiri termasuklah ketika saya di FAM dan saya mengambil kursus Lesen Professional AFC.

“Memang jika dilihat harganya agak mahal tetapi di FAM, pembayaran boleh dibuat mengikut modul pelajaran dan sebenarnya ia lebih murah mengambil lesen di Malaysia berbanding luar negara.

“Kini di Malaysia kita ada Scott O’Donnel (Pengarah Teknikal FAM) dan Lim Kim Choon yang boleh mengendalikan kursus buat Lesen Profesional AFC. Jadi jurulatih-jurulatih muda perlu rebut peluang ini,” ujar Kim Swee.

Puas hati dengan Sabah

Dalam pada itu, Kim Swee berpuas hati dengan pencapaiannya bersama Sabah musim ini meskipun berdepan dengan beberapa situasi sukar seperti masalah kecederaan pemain.

“Jika dilihat kepada kekuatan keseluruhan skuad Sabah, kami tidak mempunyai skuad yang besar jika dibandingkan dengan pasukan seperti JDT atau Selangor.

“Tetapi barisan pemain dalam pasukan saya mempunyai semangat juang tinggi dan itu yang membuatkan kami berupaya memberi saingan dalam saingan Liga Super.

“Sasaran pengurusan pasukan Sabah adalah untuk lima tempat teratas namun, bedasarkan tahap terkini pasukan saya mensasarkan kami layak ke saingan AFC musim depan,” kata Kim Swee.

Naib juara Liga Super dan juara Piala FA berpeluang mara ke saingan Piala AFC dan jika Sabah berjaya dengan sasaran peribadi Kim Swee itu, ia adalah kali pertama pasukan dari Borneo itu beraksi di pertadingan peringkat AFC.

Leave a Reply