Piala FA: 3 Masalah Utama Dihadapi Penang Di Stadium Sultan Ibrahim

Pada aksi Piala FA peringkat separuh akhir semalam, Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan mereka untuk melayakkan diri ke pentas akhir setelah menewaskan Penang di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dengan keputusan penuh 6-1.

Pada perlawanan tersebut, jelas pasukan tuan rumah mendominasi keseluruhan perlawanan serta bijak memanipulasi kelemahan pelawat yang dilihat serba tidak menjadi.

Penang pula tampil dalam keadaan serba tidak menjadi di segenap aspek dan jurang kekuatan antara kedua pasukan ini dilihat terlalu ketara pada perlawanan semalam.

Ini ada tiga masalah yang dihadapi Penang sepanjang perlawanan semalam ketika berdepan JDT di SSI.

Pertahanan yang terlalu goyah

Penang tampil dengan menurunkan dua pertahanan import tengah mereka iaitu Christian Rontini dan Rafael Vitor sambil diapit oleh Adib Raop dan Jafri Chew.

Untuk prestasi individu, Rafael Vitor berjaya menjalankan tugas beliau dengan baik selaku pertahanan apabila cemerlang ketika berhadapan situasi satu lawan satu.

Namun secara keseluruhan, masalah persefahaman serta kedudukan setiap pertahanan jelas masih lagi lemah dan mudah diambil peluang oleh pemain JDT.

Kawasan tengah yang sangat lompong

Situasi yang agak ketara apabila kebanyakan pemain berada di garisan terlalu bawah dan membenarkan JDT mengeksploitasi di kawasan tengah.

Tanpa Endrick dos Santos, jelas Penang mempunyai masalah untuk mengawal bola dengan lebih lama di bahagian tengah mereka selain terpaksa bergerak di bahagian sisi untuk mencipta sesuatu.

JDT jelas selesa mengawal bola di bahagian tengah tanpa perlu risau untuk dibayangi pemain lawan yang lebih memadatkan kawasan pertahanan.

Kreativiti serangan terhad

Pertahanan JDT semalam dilihat tidak begitu bermasalah untuk mematikan ancaman serangan yang cuba diberi oleh Penang ketika tuan rumah cuba diasak.

Ketika situasi menyerang untuk Penang, mereka terlalu bergantung harap pada gerakan individu milik Lucas Espindola untuk memulakan segalanya.

Pemain ini dibiarkan berseorangan di atas tanpa diapit rapat mana-mana rakan untuk memberi bantuan kepada dirinya cuba membina kombinasi serangan berpasukan.

Namun positifnya, Lucas tetap berjaya memperoleh gol semalam menerusi situasi sepakan penjuru untuk menambah koleksi jaringan peribadi beliau musim ini

Leave a Reply