Awal pagi tadi, telah berlangsungnya perlawanan terakhir untuk Kumpulan E dan F dalam Piala Dunia B-20 2019 di Poland.
Kejutan berlaku apabila Portugal seri 1-1 kepada Afrika Selatan. Keputusan seri tersebut telah memberi tamparan kepada skuad dari Eropah itu kerana gagal memanfaatkan peluang untuk meraih rekod terbaik untuk tempat ketiga.
Kandas
Rafael Leao menjaringkan gol Portugal pada minit ke-19. Kemudiannya, Afrika Selatan meraih gol penyamaan melalui sepakan penalti pada minit ke-53.
James Monyane menyempurnakan sepakan penalti itu. Skor 1-1 itu kekal hingga tamat perlawanan.
Kegagalan Portugal mara ke peringkat seterusnya turut dibantu dengan kemenangan mengejut Korea Selatan ke atas Argentina. Oh Se Hun dan Cho Young Wook menjaringkan masing-masing satu gol bagi menumbangkan Argentina.
Argentina meraih gol saguhati melalui Cristian Ferreira sebelum perlawanan tamat. Maka, Argentina dan Korea Selatan mara ke peringkat seterusnya melalui kapasiti juara dan naib juara Kumpulan F.
Gelora Kumpulan E
Kumpulan E pula menyaksikan pertembungan antara Mali dengan Perancis dan Arab Saudi menentang Panama.
Perancis mendahului perlawanan melalui gol Michael Cuisance pada minit ke-12. Dua minit kemudian, Koita menjaringkan gol penyamaan untuk Mali. Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Apabila separuh masa kedua berlangsung, Moussa Diaby dan Gouiri menjaringkan gol untuk Perancis. Mali berjaya merapatkan kedudukan melalui gol Ousmane semasa minit kecederaan.
Kemenangan menjadi milik Perancis dengan skor 3-2.
Panama melepasi cabaran Arab Saudi dengan mudah. Axel McKenzie dan Diego Valanta menjaringkan gol untuk Panama. Arab Saudi mampu berpuas hati dengan gol tunggal melalui Feras Albrikan.
Arab Saudi tersingkir daripada saingan. Panama layak ke pusingan 16 terbaik kerana menjadi antara 4 pasukan tangga ketiga kumpulan terbaik.
Nasibmu Norway
Masih segar dengan kejayaan Norway membelasah Honduras? Sayangnya rekod itu ternyata kurang membantu kempen Norway kali ini.
Ini disebabkan kelebihan kutipan mata tidak dimiliki Norway itu. Malah, Portugal berputih mata kerana tidak dapat mara dek kutipan jaringan gol tidak sebanyak Panama.
Walaupun Panama dan Portugal mempunyai kutipan mata dan perbezaan gol yang sama! FIFA telah menetapkan kutipan jaringan gol sebagai faktor pemisah ketiga selepas kutipan mata dan perbezaan gol.
Berikut merupakan perlawanan bagi 16 terbaik mengikut waktu Poland:
2 Jun
Itali lawan Poland
Colombia lawan New Zealand
3 Jun
Uruguay lawan Ecuador
Ukraine lawan Panama
Senegal lawan Nigeria
4 Jun
Jepun lawan Korea Selatan
Perancis lawan Amerika Syarikat
Argentina lawan Mali
Nampak gayanya Eropah, Amerika Selatan, Asia mahu pun Afrika sudah sah mempunyai 1 wakil untuk suku akhir.
Mampukah Argentina meraih kejuaraan ke-7 dalam Piala Dunia B-20?