Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Previu Final UCL 2018/19: Pertembungan Dua Kelab Inggeris Yang Memburu Gemilang Eropah

Pada awal pagi nanti, dua kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) akan bersemuka diantara satu sama lain di Stadium Wanda Metropolitano di Madrid untuk dinobatkan sebagai juara UEFA Champions League (UCL).

Tottenham Hotspur akan melakukan penampilan pertama mereka di perlawanan akhir, sejak kali terakhir menjuarai Piala UEFA pada 1984.

Manakala bagi Liverpool, perlawanan akhir ini adalah yang kedua berturut-turut – juga misi memburu kejuaraan ke-6 di dalam sejarah kelab Merseyside itu – sejak kali terakhir memenangi ‘Big Ear’ pada 2005 di Istanbul.

Rekod pertemuan

Sebelum kita pergi lebih jauh, ayuh kita lihat dulu rekod pertemuan melibatkan kedua-dua pasukan. Perseteruan diantara Mauricio Pochettino dan Jurgen Klopp bermula sebaik sahaja pengurus berbangsa Jerman itu tiba di Anfield pada 2015.

Malah perlawanan pertama Klopp di EPL ialah dalam perlawanan menentang Spurs yang berkesudahan 0-0. Sejak daripada itu, kedua-dua pengurus telah berhadapan berhadapan satu sama lain sebanyak lapan kali.

LONDON, ENGLAND – SEPTEMBER 15: Jurgen Klopp, Manager of Liverpool and Mauricio Pochettino, Manager of Tottenham Hotspur shake hands after the Premier League match between Tottenham Hotspur and Liverpool FC at Wembley Stadium on September 15, 2018 in London, United Kingdom. (Photo by Julian Finney/Getty Images)

Tiga perlawanan memihak kepada Liverpool, empat perlawanan berakhir dengan seri, dan Tottenham hanya pernah menewaskan Liverpool sekali sejak ketibaan Klopp.

Jika rekod menjadi ukuran, maka Liverpool adalah pilihan untuk muncul juara. Tetapi perlawanan akhir, pelbagai faktor akan memainkan peranan – termasuk aspek taktikal.

Keputusan 10 perlawanan terakhir dihadapi setiap pasukan adalah seperti berikut. (semua pertandingan)
Tottenham Hotspur: DWLLLWLLWW
Liverpool: WWWLWWWWWW

Taktikal Pochettino vs Klopp

Menjelang aksi perlawanan akhir, barisan kesebelasan yang bakal ditampilkan oleh Liverpool seperti lebih mudah diramalkan berbanding Tottenham.

Dari segi struktur, Klopp melakukan beberapa perubahan sepanjang musim ini. Walaupun kebiasaannya menggunakan formasi 4-3-3, formasi itu diubah kepada 4-2-3-1 dalam beberapa perlawanan. Pada pengakhiran musim, 4-3-3 oleh Klopp lebih menyerupai 4-1-4-1 – dengan dua pemain tengah beraksi lebih ke hadapan di depan seorang pemain pivot.

(Photo by Denis Doyle/Getty Images)

Skuad kendalian Mauricio Pochettino pula mungkin mempunyai elemen mengejutkan. Pengendali dari Argentina ini telah menggunakan beberapa formasi sepanjang musim termasuk 3-4-2-1, formasi 4-4-2 berlian, dan juga 4-2-2-2. Ia adalah tiga set sistem permainan yang berasingan.

Persoalannya bagaimanakah kedua-dua pasukan akan tampil khusus untuk perlawanan akhir ini?

Pemain tumpuan

Kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan untuk membina serangan dari bahagian sayap. Trent Alexander-Arnold dan Andy Robertson adalah ancaman utama Liverpool dari posisi sayap untuk menghasilkan peluang menjaringkan gol. Spurs juga banyak bergantung harap kepada pemain di posisi yang sama, iaitu kepada Keiran Trippier dan juga Danny Rose – walaupun dengan pendekatan yang berbeza.

Tatkala Alexander-Arnold dan Robertson lebih maju ke hadapan dengan larian mereka, Spurs akan mengharapkan hantaran-hantaran horizontal oleh kedua-dua bek sayap mereka dari bahagian tengah padang untuk diterima oleh pemain penyerang, dalam usaha melakukan ancaman ke kubu lawan.

Tumpuan juga akan terarah kepada Christian Eriksen untuk menjana kreativiti di bahagian tengah Spurs, tatkala peranan Sadio Mane juga semakin bertambah jika Firmino tidak beraksi untuk mengetuai jentera serangan Liverpool bersama Mohamed Salah.

Perkembangan terkini pasukan

Tanpa mengira apakah bentuk formasi oleh kedua-dua pengurus, beberapa pemain dari kedua-dua pasukan tetap akan menjadi fokal utama kekuatan pasukan masing-masing.

Bagi Tottenham Hotspur, tumpuan pastinya akan terarah kepada tahap kecergasan Harry Kane. Penyerang antarabangsa England ini mengalami kecederaan buku lali dalam perlawanan peringkat suku akhir menentang Manchester City pada April lalu.

Walaupun Pochettino dan Kane sendiri mengatakan beliau sudah pulih dan sedia untuk diturunkan dalam perlawanan ini, masih banyak tanda tanya terhadap tahap kecederaan penyerang ini – apatah lagi ini adalah kecederaan berulang dan pernah berlaku sebelum ini.

Pemain pertahanan, Jan Vertonghen pula dijangka akan beraksi pada malam ini, walaupun mengalami kecederaan dalam perlawanan separuh akhir berhadapan Ajax. Davinson Sanchez turut dijangka akan berada di dalam skuad Spurs pada awal pagi nanti selepas kecederaan yang dialami ketika menentang Bournemouth sebelum ini.

Jurgen Klopp sudah pasti akan tanpa khidmat Naby Keita di bahagian tengah. Liverpool sebelum ini pernah mengumumkan Keita terpaksa berehat selama dua bulan akibat kecederaan pangkal paha dalam perlawanan separuh akhir pertama menentang Barcelona di Nou Camp.


Tetapi kerisauan utama Klopp pastinya akan terarah kepada tahap kecergasan Roberto Firmino. Pemain ini merupakan fokal penting dalam rangkaian serangan bertiga The Kops.

Sehingga kini, pemain antarabangsa Brazil ini sudah tidak beraksi dalam tiga perlawanan terakhir membabitkan Liverpool. Walaupun dilihat sudah pulih daripada kecederaan pangkal paha yang dialaminya, Klopp dan pasukan perubatan Liverpool pasti enggan merisikokan pemain ini daripada mengalami kecederaan yang lebih teruk.

Barisan kemungkinan

Tottenham Hotspur: Lloris; Trippier, Alderweireld, Vertonghen, Rose; Winks, Sissoko; Eriksen, Alli, Son; Kane

Liverpool: Alisson; Alexander-Arnold, Matip, Van Dijk, Robertson; Fabinho, Henderson, Wijnaldum; Salah, Firmino, ManΓ©

Rumusan

Selepas lima tahun bersama , ini adalah peluang terbaik untuk Mauricio Pochettino memenangi kejuaraan bersama Tottenham Hotspur. Sebelum ini Spurs pernah kecewa di perlawanan akhir Piala EFL 2014/15 – namun kemunculan di perlawanan akhir pertandingan Eropah pasti sesuatu yang lebih bermakna buat pengurus dan semua pemain.

Bagi Liverpool pula, kejuaraan kali ini bukan sahaja untuk menebus kekecewaan musim lalu selepas ditewaskan oleh Real Madrid. Bagi Klopp, ni adalah penampilan keempat di perlawanan akhir UCL, termasuk pada musim 2012/13 bersama Borussia Dortmund.

Kemenangan pada awal pagi nanti bukan sekadar meluaskan penguasaan Liverpool sebagai kelab berstatus elit di eropah, tetapi turut melengkapkan Klopp sebagai jaguh – untuk dianggap sebagai antara pengurus terbaik di era bola sepak moden.