Tuan rumah Piala Dunia Bawah-17 2017, India sah tersingkir dari kejohanan selepas tewas 0-4 kepada juara 2 kali kejohanan, Ghana.
Dua gol dari kapten Ghana, Eric Ayiah yang bakal menyertai gergasi Portugal, FC Porto pada minit ke-43 dan ke-52, Richard Danso (minit 86′) dan Emmanuel Toku (minit 87′) melengkapkan malam buruk buat India yang ketinggalan dari segi fizikal, kelajuan dan skil berbanding lawan mereka.
Colombia tumbangkan Amerika Syarikat
Colombia mengiringi Ghana di kumpulan A selepas berjaya menewaskan Amerika Syarikat 3-1. Juan Vidal menjaringkan gol pada minit ke-3 untuk Colombia mendahului permainan sebelum kedudukan disamakan oleh George Acosta pada minit ke-24.
Amerika Syarikat cuba bertahan untuk mempertahankan kedudukan seri 1-1 memandangkan 4 mata sudah cukup melayakkan mereka ke pusingan kalah mati.
Tetapi pelan tersebut memakan diri apabila Juan Penaloza menjaringkan gol kedua pasukannya pada minit ke-67. 3 minit sebelum tamat permainan, Colombia mendapat satu lagi gol hasil sumbangan Dieber Caicedo.
Dengan semua pasukan di kumpulan A masing-masing berkongsi 3 mata, Colombia mara ke pusingan 16 terbaik atas rekod head-to-head ke atas pasukan tangga ke-3, Amerika Syarikat.
Paraguay menang selesa
Dalam aksi kumpulan B, Paraguay mengekalkan rekod kemenangan 100% dalam kejohanan selepas mudah menewaskan Turki 3-1.
Giovanni Bogado, Fernando Cardozo dan Antonio Galeano masing-masing meledak 1 gol untuk membolehkan Paraguay mara ke pusingan kalah mati sebelum Kerem Kesgin menjaringkan gol saguhati Turki pada minit-minit kecederaan separuh masa kedua.
Dengan 2 kekalahan dan satu seri, Turki menghuni tangga terbawah kumpulan B sekaligus tersingkir dalam kejohanan kali ini.
Mali humban New Zealand ke penyingkiran
Dalam satu lagi aksi kumpulan B, Mali yang tewas 2-3 kepada pendahulu kumpulan, Paraguay mengiringi pasukan Amerika Selatan tersebut ke pusingan 16 pasukan terbaik selepas menewaskan New Zealand 3-1.
Gol daripada Salam Jiddou dan Djemoussa Traore menjadikan Mali selesa mendahului 2-0.
New Zealand cuba bangkit apabila Charles Spragg menjaringkan gol pada minit ke-72 untuk merapatkan kedudukan 2-1. Namun usaha mereka menemui penamat apabila Lassana Diaye menjaringkan gol ketiga Mali pada minit ke-82.
Penutup aksi
Pada hari ini, aksi terakhir kumpulan C akan menentukan negara manakah yang akan mengiringi Iran ke pusingan 16 pasukan terbaik. Costa Rica yang seri 2-2 dengan Guinea 3 hari lepas berdepan tugas paling berat apabila dijadualkan menentang pendahulu kumpulan, Iran.
Jerman yang dibelasah 0-4 oleh Iran pula akan bertemu Guinea. Semua perlawanan penutup Kumpulan C akan berlangsung pada 7.30 malam dan 10.30 malam waktu Malaysia.
Di kumpulan D pula, persaingan masih terbuka dengan Sepanyol dan Niger masing-masing terikat 3 mata perlu menang (atau seri jika keputusan perlawanan lain memihak mereka) untuk mengiringi Brazil yang sudah sebelah kaki melangkah ke pusingan 16 pasukan terbaik.
Niger berdepan tugas paling berat apabila bakal menentang Brazil. Sepanyol pula akan menentang Korea Utara yang tewas 2 perlawanan sebelum ini.
Seperti perlawanan-perlawanan kumpulan C, aksi terakhir kumpulan D juga akan berlangsung pada 7.30 malam dan 10.30 malam waktu Malaysia hari ini.