Arab Saudi hampa meskipun dominan
Jepun meneruskan kemaraan mereka dalam kempen Piala Asia 2019 selepas menyingkirkan Arab Saudi dalam pusingan 16 pasukan akhir di Stadium Sharjah. Ini adalah pertemuan 2 pasukan paling berjaya di dalam kejohanan ini dengan 7 kejuaraan di antara mereka(4 Jepun dan 3 Arab Saudi).
Tandukan pemain pertahanan – Takehiro Tomiyasu telah membawa Samurai Biru mara – dalam misi memburu Piala Asia ke-5 mereka. Jepun akan berhadapan dengan Vietnam pada Khamis ini dalam saingan suku akhir.
Walaubagaimanapun, perlawanan ini dikuasai oleh Arab Saudi. Anak-anak buah Juan Antonio Pizzi ternyata memberikan masalah kepada Jepun sejak dari awal perlawanan lagi.
Arab Saudi – juara 3 kali – bermasalah dengan penyudah di hadapan gol. Sekaligus membuatkan mereka terus hampa selepas kali terakhir menjulang Piala Asia pada 1996.
Jepun lebih banyak bermain dengan sistem serangan balas dalam perlawanan ini. Pertahanan Jepun yang kemas diketuai oleh Maya Yoshida membuatkan Arab Saudi berputih mata untuk mendapatkan gol.
Australia singkirkan Uzbekistan
Dalam satu lagi perlawanan, Juara bertahan – Australia menyingkirkan Uzbekistan menerusi penentuan sepakan penalti. Perlawanan berakhir 0-0 untuk tempoh 120 minit.
Hero skuad Australia pastinya Matthew Ryan yang menyelamatkan sepakan penalti daripadan Islom Tukhtakhujaev dan Dostonbek Khamdamov.
Lawan Australia di suku akhir adalah Emiriah Arab Bersatu yang berjaya menewaskan Kyrgyzstan 3-2 selepas perlawanan berlarutan ke masa tambahan.