Kevin-Prince Boateng Lengkapkan Perpindahan Mengejut Secara Pinjaman Ke Barcelona

Kevin-Prince Boateng sah menyertai Barcelona dalam satu perpindahan mengejut dari kelab Serie A, Sassuolo. Pendahulu La Liga itu mengumumkan ketibaan Boateng yang datang secara pinjaman dengan pilihan untuk membeli dengan harga £7.05 juta secara tetap pada musim panas 2019 nanti.

Barcelona mengesahkan berita tersebut selepas Boateng memberitahu media di Itali bahawa urusan perpindahan itu telah lengkap. Pemain enigma berusia 31 tahun itu akan menandatangani kontraknya pada hari Selasa (waktu Sepanyol) sebelum sesi bergambar dan sidang media di Nou Camp nanti.

Di media sosial, Barcelona turut ‘menggesa’ Boateng untuk membantu mereka selepas bertanggungjawab ‘mencederakan’ mereka semasa bermain untuk AC Milan.

Bercakap kepada media Itali, Boateng semalam turut menafikan laporan akhbar bahawa beliau merupakan peminat Real Madrid semasa kecil. “Itu cerita lepas. Saya hanya mahu fokus kepada Barcelona, dan berharap dapat menjaringkan gol di Bernabéu dalam pertemuan El Clasico akan datang.”

Kenyataan Boateng itu bertentangan dengan apa yang diluahkan beliau semasa bermain untuk Eintracht Frankfurt pada tahun lepas. Bercakap kepada akhbar Rheinische Post, bekas pemain tengah antarabangsa Ghana itu memberitahu: “Saya tahu – dan saya tak mahu kedengaran bongkak – yang saya boleh bermain untuk Real Madrid. Tapi saya tak bekerja keras untuknya.”

Boateng menandatangani kontrak dengan Sassuolo secara percuma selepas bergelar ejen bebas pada musim panas lepas dan telah membintangi pasukan bimbingan Roberto de Zerbi itu sehingga membolehkan pasukannya mencapai kedudukan pertengahan liga. Boateng telah menjaringkan 5 gol dalam 15 penampilan, dan mencipta impak besar meskipun tidak dapat diturunkan selama beberapa minggu pada musim ini kerana kecederaan peha.

Difahamkan Barcelona tertarik dengan persembahan Boateng di posisi nombor sembilan jadian (false nine) di Sassuolo. Ketika ini, Barcelona mempunyai kekurangan dari segi pilihan penyerang selepas pemergian Paco Alcacer ke Borussia Dortmund dan Munir El Haddadi ke Sevilla.

Perpindahan ini turut meningkatkan lagi spekulasi perpindahan Denis Suarez, pemain Barcelona yang berada di posisi sama dengan Boateng, selepas media Sepanyol dan England melaporkan Arsenal bakal mendapatkannya secara pinjaman dengan pilihan untuk membeli pada harga £20 juta.

Nou Camp akan menjadi destinasi paling berprofil tinggi dalam karier Boateng yang terkenal kerana suka berpindah-randah sejak meninggalkan kelab asalnya, Hertha Berlin untuk menyertai Tottenham Hotspur pada 2007.

Kemudian dari White Hart Lane, beliau menyertai Dortmund pada 2009, di mana beliau bermain di bawah Jurgen Klopp, yang disifatkannya ‘jurulatih terbaik di dunia’, sebelum berhijrah pula ke Portsmouth.

Pemain tengah menyerang itu pernah menjaringkan gol di Wembley untuk The Pompey ketika menentang Spurs semasa separuh akhir Piala FA. Tetapi pada akhir musim, beliau tidak dapat membantu Portsmouth mengelak penyingkiran liga.

Selepas itu, Boateng mengarungi kempen Piala Dunia 2010 yang berjaya bersama Ghana, yang membolehkannya mendapat kontrak bersama AC Milan – melalui aturan perpindahan yang kompleks bersama Genoa. Boateng kemudiannya berhijrah ke Schalke 04 dan Frankfurt di Jerman, dengan satu-satunya pengalaman beliau di La Liga adalah semusim bersama Las Palmas.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN