Piala Asia 2023: China Sah Tarik Diri, Peluang Malaysia Jadi Tuan Rumah?

China sah menarik diri untuk menganjurkan kejohanan Piala Asia 2023 – kejohanan antarabangsa terbesar di rantau ini.

Sebelum ini China dipilih untuk menjadi tuan rumah kejohanan Piala Asia 2023 pada 5 Jun 2019 selepas satu kongres luar biasa Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berlangsung di Paris.

China terpaksa beralah

Namun situasi semasa yang sukar dijangka di negara itu akibat pandemik yang melanda mendorong Persatuan Bola Sepak China (CFA) untuk melupakan terus penganjuran kejohanan tersebut.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh AFC pada hari ini, pihak AFC sendiri selama ini telah bekerja rapat dengan CFA dan jawatankuasa pengajuran Piala Asia 2023 (LOC) untuk persiapan penganjuran tersebut.

Malah pihak penganjur telah melancarkan logo kejohanan, dan berjaya menyiapkan pembinaan Stadium Shanghai Pudong – khusus untuk kejohanan tersebut pada tahun lalu.

“Pihak AFC menghargai usaha dan kerjasama yang diberikan kerajaan China, CFA dan LOC sepanjang tempoh sukar ini tetapi keputusa ini adalah untuk kepentingan kejohanan Piala Asia 2023 secara kolektif,” kata kenyataan tersebut.

“[Penarikan diri] ini akan memberi AFC secukup masa untuk menilai kembali situasi penganjuran Piala Asia 2023.”

“Pihak AFC akan terus bekerjasama rapat dengan rakan komersil dan pemegang taruh untuk langkah seterusnya dan bersyukur untuk kefahaman dan sokongan semua pihak sepanjang pada ketika ini.

“Butiran lanjut mengenai langkah seterusnya berkenaan penganjuran Piala Asia 2023 akan diumumkan pada masa terdekat.

Peluang Malaysia jadi tuan rumah

Buat masa ini Qatar dikatakan antara negara yang menjadi pilihan untuk menggantikan China sebagai penganjur kejohanan yang berlangsung setiap empat tahun itu.

Qatar dijangka tidak mempunyai masalah untuk menganjurkan kejohanan tersebut kerana memiliki fasiliti yang diperlukan selepas menganjurkan Piala Dunia pada November nanti.

Tetapi ini tidak bermakna negara lain tidak diberikan peluang oleh AFC untuk menjadi penganjur sekiranya menyatakan minat dan bersedia untuk melakukannya.

Malaysia juga tidak terkecuali untuk menjadi pilihan tuan rumah kejohanan bola sepak peringkat serantau itu.

Untuk rekod, Malaysia juga diberikan kepercayaan menganjurkan beberapa pertandingan AFC pada tahun ini, seperti pusingan peringkat kumpulan AFC Champions League di Stadium Sultan Ibrahim, dan pusingan kelayakan Piala Asia 2023 yang akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jun nanti.

Pada Februari lalu, AFC turut mengumumkan pemilihan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah aksi peringkat Kumpulan H bagi saingan Piala AFC 2022 peringkat Zon Asia Tenggara yang akan berlangsung pada 24 Jun hingga 30 Jun 2022.

Untuk rekod, Malaysia pernah menjadi penganjur Piala Asia secara bersama pada 2007.

Leave a Reply